suria

Layak ke final Piala AFF Suzuki belum cukup buat Cheng Hoe, mahu julang trofi

Cheng Hoe diraikan pemain-pemainnya sebaik sahaja layak ke final Piala AFF Suzuki. Foto:AFP

SEPANG: Kejayaan mara ke final Piala AFF Suzuki 2018 masih belum cukup memadai untuk Tan Cheng Hoe yang berharap dapat menjulang piala berkenaan buat kali kedua.Pengendali skuad kebangsaan itu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu permulaan cemerlang dalam karier kejurulatihannya.

Cheng Hoe, 50, merupakan penolong kepada bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal yang membantu Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki buat julung kali pada edisi 2010.

“Saya rasa itu (layak ke final) baru permulaan baik sepanjang karier kejurulatihan saya dan perjalanan saya masih jauh.

“Saya nak terus bersama pemain negara, dan sekiranya mereka betul-betul berdisiplin dan mengekalkan sikap sedia ada, saya rasa mereka boleh membantu skuad negara untuk beberapa tahun lagi,” katanya ketika ditemui pemberita setibanya skuad negara dari Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, Khamis.

Malaysia mara ke final walaupun seri 2-2 dengan Thailand pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Rabu malam.

Keputusan seri itu sudah mencukupi untuk skuad Harimau Malaya kendalian Cheng Hoe layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Disember lepas.

Dalam pada itu, Cheng Hoe memaklumkan, beliau perlu mendapatkan pengesahan doktor pasukan berhubung tahap kecederaan dialami pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang terpaksa dikeluarkan pada babak awal permainan ketika menentang Thailand.

Beliau pada masa sama, tidak menolak kemungkinan untuk menggantikan pemain yang cedera dan menerima kad merah pada aksi di Bangkok, dengan beberapa muka baharu untuk aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 Disember ini.

“Kita kehilangan Muhammad Syahmi Safari akibat kad merah pada aksi semalam dan berkemungkinan tempat beliau akan digantikan dengan Amirul Azhan Aznan.

“Semua pemain beraksi dengan baik semalam seperti Nazirul Naim Che Hashim dan Muhammad Irfan Zakaria, namun yang lebih penting bagi saya setiap pemain kena bermain sebagai satu pasukan dan beri galakan kepada satu sama lain,” jelas Cheng Hoe.

Beliau turut berterima kasih kepada penyokong negara, terutamanya penyokong tegar yang memberikan sokongan padu, sama ada skuad Harimau Malaya beraksi di laman sendiri atau tempat lawan.

Lawan Malaysia pada aksi final akan ditentukan pada separuh akhir kedua antara Vietnam dan Filipina di Hanoi, malam ini, dengan Vietnam meraih kemenangan tipis 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Bacolod City, Filipina, 2 Dis lepas.- BERNAMA

Tan Cheng Hoe, Piala AFF

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain