HANOI: Vietnam Airlines akan menambah perkhidmatan penerbangan ke Kuala Lumpur pada 11 Disember bagi memberi peluang peminat bola sepak negara itu, menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 yang akan berlangsung di Malaysia, lapor agensi berita Vietnam (VNA). Tambahan penerbangan itu membabitkan laluan dari Hanoi, Ho Chi Minh City dan Da Nang yang menyediakan lebih 1,100 tempat duduk. Menggunakan pesawat Airbus A321 penerbangan dijadual berlepas sebelah pagi dan penerbangan balik pada petang hari yang sama. ARTIKEL BERKAITAN: Piala AFF Suzuki: FAM tambah 10,000 tiket online esok Vietnam Airlines akan bekerjasama dengan beberapa syarikat pelancongan yang akan menyediakan pakej perjalanan, termasuk tiket penerbangan dan perlawanan, pemandu pelancong serta pengangkutan ke stadium. Vietnam melangkah ke final Piala Suzuki selepas menewaskan Filipina 2-1 di Stadium My Dinh Hanoi, Khamis. Aksi final pertama antara Vietnam dan Malaysia berlangsung di Kuala Lumpur pada 11 Disember manakala final kedua empat hari kemudian di Stadium My Dinh Hanoi. - Bernama