PETALING JAYA: Kemunculan 'ulat tiket' selepas tiket perlawanan final pertama Piala AFF Suzuki 2018 habis terjual pada pagi Ahad sudah dijangka. Melalui pemerhatian mStar Online di dua platform portal jual beli popular, ulat-ulat tiket mula menawarkan tiket tersebut pada harga serendah RM50 hingga RM250. Harga asal bagi sekeping tiket yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah RM40 bagi tempat duduk terbuka, RM50 bagi grandstand dan RM5 untuk kanak-kanak. Pelbagai alasan yang dinyatakan ulat tiket pada butiran iklan di portal tersebut. Seorang pengguna akaun portal terbabit menawarkan dua tiket untuk dilepaskan dan meletakkan harga RM250 kerana penat beratur untuk mendapatkannya. "Dua tiket untuk dilepaskan. Penat beratur... ambil upah mahal sedikit," tulisnya pada iklan yang dimuat naik pada petang Ahad itu. Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada harga tersebut untuk dua keping tiket atau hanya satu tiket. Seorang lagi ulat tiket ingin menjual empat tiket pada harga RM150 kerana tidak dapat menghadiri perlawanan tersebut. Sementara itu, seorang ulat tiket lain meletakkan harga RM120 bagi sekeping tiket final tersebut selepas mengambil kira masa beratur dan tidur di Stadium Nasional Bukit Jalil sejam Sabtu malam. "Saya ada lebih tiga keping tiket final AFF Suzuki. Sekeping tiket RM120 termasuk caj beratur, tidur di stadium, masa dan petrol. "Abaikan jika rasa mahal. Tiada paksaan untuk beli," tulisnya.