suria

"Mereka tidak layak cakap pasal hoki"

Reaksi Terry Walsh (kiri) sebaik sahaja tiba di KLIA pada Sabtu. Foto: Bernama

SEPANG: Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Terry Walsh membidas kritikan terhadapnya yang menuntut dia meletak jawatan berikutan pencapaian mengecewakan pasukan hoki lelaki negara pada Piala Dunia 2018 yang sedang berlangsung di Bhubanesvar, India.

Ketika diminta mengulas berhubung perkara itu sejurus ketibaan bersama pasukan kebangsaan dari Bhubanesvar, pengendali kelahiran Australia berusia 65 tahun itu berkata mereka yang mengkritik itu sebenarnya tidak layak bercakap pasal hoki.

“Komen saya, kebanyakan mereka yang bercakap ini sebenarnya tidak layak bercakap pasal hoki. Mereka tidak memahami apa kita lakukan adalah untuk proses jangka panjang, bukannya keputusan segera,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) Sabtu.

Malaysia yang berada di ranking ke-12 dunia, terpaksa pulang awal daripada kejohanan melibatkan 16 pasukan itu yang berlangsung di Stadium Kalinga selepas menduduki tempat ke-15.

Skuad Malaysian Tigers gagal meloloskan diri ke pusingan kalah mati selepas menduduki tempat tercorot dalam Kumpulan D berikutan kekalahan 0-7 kepada pasukan di kedudukan keempat dunia, Belanda; seri 1-1 berdepan Pakistan (13) dan tewas 3-5 di tangan Jerman (6).

Susulan itu, pasukan negara yang meraih pingat perak pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, dikritik pihak tertentu, termasuk menggesa Terry meletak jawatan.

Ditanya siapa sepatutnya dipersalahkan berikutan kegagalan skuad kebangsaan mara ke pusingan seterusnya pada kejohanan itu, pemain yang pernah memenangi pingat perak Sukan Olimpik 1976 di  Montreal, Kanada, itu berkata: “Sebenarnya tiada siapa boleh dipersalahkan”.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans melahirkan keyakinan anak buahnya memiliki kualiti untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, walaupun mereka gagal mencapai sasaran berada dalam kelompok 10 teratas pada Piala Dunia 2018 itu.

“Kami memang kecewa, terutama aksi permulaan tidak baik (berdepan Belanda). Perlawanan kedua dan ketiga, kita bermain agak baik, tetapi tidak dapat mengembalikan kedudukan kita. Kita menghadapi masalah dari segi mental ketika berdepan Belanda. Kita bermula baik, namun selepas dibolosi dengan gol kedua dan ketiga, kita kehilangan rentak permainan.

“Kita memiliki peluang (mara ke pusingan kedua) menentang Pakistan, masalahnya sentiasa berlaku dengan satu gol, jika kita berjaya menjaringkannya, kita sudah pasti berada dalam kelompok 10 teratas. Kita memperoleh banyak pengalaman daripada kejohanan itu, kita akan terjemahkannya sebaik mungkin dan berusaha keras pada tahun akan datang,” katanya.

Jurulatih dari Belanda itu berkata anak buahnya memiliki kemahiran yang baik, tetapi perlu memperbaiki dari segi taktikal, kecergasan, kekuatan mental individu dan beraksi secara berpasukan untuk berada di puncak prestasi bagi menghadapi aksi kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Bekas jurulatih India, Pakistan dan Belanda itu berkata dia akan mencungkil bakat baharu daripada Liga Hoki Malaysia 2019 yang dijadual bermula pada Januari depan bagi menyuntik tenaga baharu dalam skuad negara kerana beberapa pemain sedia ada semakin menghampiri umur persaraan dalam sukan hoki.

Malaysia dijangka memulakan aksi musim 2019 dengan menyertai Piala Sultan Azlan Shah pada Mac, sebelum menghadapi perlawanan seterusnya dalam aksi kelayakan Sukan Olimpik dan Pusingan Akhir Siri Dunia menentang Austria, Kanada, Itali, Wales, Vanuatu, China dan Brazil pada April.

Tuan rumah, Malaysia perlu berada di kedudukan dua teratas untuk mara ke fasa akhir dalam aksi kelayakan, melibatkan dua perlawanan ‘play-off' pada Oktober dan November bagi mengesahkan tempat di Sukan Olimpik 2020.- Bernama

Terry Walsh, KHM

Artikel Lain