suria

Wan Kuzain kagumi kelincahan Safawi, simpan impian main dalam pasukan sama

PETALING JAYA: Sejarah peribadi yang tercatat apabila menjadi pemain berdarah Melayu yang pertama beraksi dalam saingan Liga Bola Sepak Major (MLS) di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal tetap tidak ketinggalan mengikuti perkembangan bola sepak negara.

Jadi, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Wan Kuzain atau lebih terkenal dengan jolokan 'Messi Amerika', mengakui mengagumi tonggak utama Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid.

"Sejujurnya, dia seorang pemain yang berani. Dia masih muda dan kelincahannya semasa di atas padang tidak boleh dipertikaikan.

"Dia juga sering mengelecek bola di belakang sehingga membuatkan pemain pertahanan tidak senang duduk," katanya ketika ditemui media semasa sesi bertemu media di Football Republic dekat Sunway Pyramid di sini petang Khamis.

Malah pemain Sporting Kansas City (Sporting KC) itu turut menyimpan impian untuk beraksi bersama Safawi suatu hari nanti.

"Dia antara pemain yang saya mahu beraksi bersama. Seorang pemain yang boleh menjadikan sebuah pasukan itu mantap," katanya yang turut mengenali pemain muda negara yang mewakili Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Ditanya sama ada beliau berhasrat beraksi bersama Harimau Malaya, pemain berusia 20 tahun itu berkata dia tidak menolak kemungkinan berbuat demikian suatu hari nanti.

"Buat masa ini masih 50-50. Saya tidak pernah menutup peluang untuk mewakili Malaysia suatu hari nanti.

"Tapi buat masa ini saya mewakili Amerika Syarikat, jadi apabila tiba masanya nanti saya akan buat keputusan mengenainya.

"Walaupun saya dilahirkan di Amerika, Malaysia tetap menjadi kebanggaan saya kerana ibu bapa, datuk dan nenek saya berasal dari sini. Malah saya juga masih ada ahli keluarga di negara ini," katanya.

Wan Kuzain ketika sesi bertemu pemain muda di peringkat akar umbi di Football Republic dekat Sunway Pyramid.

Pada masa sama, Wan Kuzain turut memuji prestasi luar biasa skuad Harimau Malaya pada aksi final Piala AFF Suzuki baru-baru ini.

"Ia permainan yang bagus. Untuk Malaysia mara ke final ia satu pencapaian yang menakjubkan. Saya fikir semua pemain perlu diberikan pujian.

"Mana-mana pasukan yang mara ke final bermakna mereka antara pasukan terbaik. Pencapaian itu membuktikan Malaysia sudah kembali kepada prestasi sebenar mereka," katanya.

Wan Kuzain berada di Malaysia untuk mempromosikan bola sepak di peringkat akar umbi bersama jenama sukan terkenal, Adidas Malaysia.

Dia turut menerima tajaan selama setahun daripada Adidas Malaysia yang membolehkannya menikmati produk terbaharu sebagai usaha untuk menyemarakkan lagi kariernya.

Ketua Pemasaran Adidas Malaysia, Cheng Yik Hoong mengakui bakat luar biasa dimiliki Wan Kuzain mendorong mereka untuk menaja pemain tersebut.

“Kami gembira untuk bersama Wan Kuzain yang mana pencapaiannya dapat menjadi inspirasi kepada pemain muda di negara ini.

“Bola sepak sememangnya disukai ramai dan kami sentiasa memberi sokongan kepada pemain muda di peringkat akar umbi,” katanya.

Wan Kuzain, Safawi Rasid

Artikel Lain