PEYERANG Manchester United, Alexis Sanchez bertaruh dengan rakan pasukannya, Marcos Rojo bahawa Jose Mourinho akan dipecat di Old Trafford. Karier Mourinho selama dua tahun setengah bersama United berakhir jua pada Selasa lalu selepas dia dipecat Naib Pengerusi Eksekutif Ed Woodward. Kedudukan United yang terlalu jauh dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan hubungannya yang tidak baik dengan pemain antara faktor Mourinho dipecat. Mourinho bergaduh dengan pemain berprofil tinggi termasuk Paul Pogba dan Eric Bailly. Malah pengendali dari Portugal itu turut meletakkan Sanchez di bangku simpanan pada minggu terakhir dia bersama United. Bintang Chile itu menerima gaji sekitar 400,000 pound sterling seminggu untuk berhijrah ke Old Trafford pada Januari lalu tetapi mengakui kesal menyertai kelab itu selepas merasakan Mourinho tidak menggunakannya dengan betul. Sanchez dilaporkan berada di Chile selepas bergelut dengan kecederaan hamstring. The Sun mendakwa Sanchez seronok dengan pemecatan Mourinho dalam satu mesej yang dihantar menggunakan aplikasi WhatsApp kepada rakan pasukannya. Dalam mesej itu Sanchez berkata:"Saya beritahu anda!! Kesabaran adalah yang kita semua perlukan. Rojo anda hutang saya £20k." Malah Sanchez turut memuatnaik beberapa posting di media sosial miliknya pada Rabu lalu. Pemain berusia 30 tahun itu tidak akan memperkuat United sehingga bulan depan. - Metro.co.uk