UNAI EMERY enggan bercakap mengenai perpindahan yang akan dilakukan oleh Arsenal untuk menandatangani Gary Cahill daripada Chelsea FC pada Januari ini. Kelab di sebelah utara London itu berkemungkinan dikaitkan dengan beberapa pemain pada bulan ini kerana Emery mempertimbangkan untuk mengukuhkan skuadnya ketika di tengah-tengah kempen. Pemain pertahanan Chelsea FC, Cahill telah disebut-sebut sebagai sasaran kelab itu apabila bekas pemain antarabangsa England tersebut hampir tidak pernah bermain ketika berada di bawah pimpinan Maurizio Sarri di Stamford Bridge. Bagaimanapun, pengurus Arsenal, Emery kini menolak cadangan bahawa pasukannya akan menandatangani Cahill. Ketika ditanya secara langsung sama ada Gunners akan membuat keputusan untuk mengikat Cahill bulan ini, Emery menjawab pada Selasa: "Kami tidak bercakap mengenainya." Emery berkata demikian pada sidang akhbar selepas menonton pasukannya meraih kemenangan 4-1 ke atas Fulham di The Emirates dalam perlawanan pertama mereka bagi 2019. Bos Gunners tersebut gembira dapat melihat pasukannya kembali memenangi perlawanan setelah tewas kepada Liverpool 5-1 pada hujung minggu lalu. Kata Emery: "Kami perlu menang hari ini. Kami bercakap sebelum ini di dalam bilik persalinan bahawa hari ini harus menjadi hari di mana kami tampil konsisten. "Kami tahu bahawa hari ini kami boleh memenangi tiga mata dan tiga mata itu akan memberikan kami kedudukan selamat dalam jadual." - The Sport Review