PETALING JAYA: Kontroversi perpindahan pemain Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid masih belum reda biarpun telah disahkan mendaftar sebagai pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk musim depan. Isu panas antara pemain dan majikannya itu turut mendapat perhatian penyokong setia Lang Merah. Presiden Kedah Red Eagle Crew (REC) Mohd Shafik Saroni memberitahu, tindakan Akhyar atau mesra dikenali 'Mat Yat' mengecewakan semua penyokong. "Mat Yat memang disayangi oleh semua peminat bola sepak Kedah kerana dia adalah satu permata yg digilap oleh negeri ini. "Bagi kami dia tidak menghormati kontrak dan majikan. Ini adalah salah satu sebab yang akan merosakan kariernya sendiri. "Sebagai kelab penyokong yang sentiasa di belakang kelab dan persatuan, kami dah mula muak dengan sikap pihak tertentu kerana terlalu banyak benda yang tidak diperjelaskan dengan terperinci. "Kami sangat mendokong keputusan KFA mahu meneruskan kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). "Menang atau kalah itu nombor dua. Yang penting kita lawan," jelasnya kepada mStar Online. Mengenai isu baharu yang timbul berkaitan surat perlepasan KFA untuk Akhyar, Shafik turut keliru kenapa sekarang perlu mengikut 'peraturan'. JDT memerlukan surat pelepasan daripada kelab asal Akhyar (Kedah) dalam tempoh 14 hari selepas membuat permohonan perpindahan pemain itu pada 7 Januari lalu. Seandainya selepas 14 hari tarikh permohonan pelepasan perpindahan Akhyar tidak diterima JDT, status pemain itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Status FAM. Jika Jawatankuasa Status FAM membenarkan Akhyar didaftarkan sebagai pemain JDT, pemain itu akan diberikan Sijil Perpindahan Sementara selama tempoh 90 hari dan selepas tempoh itu Akhyar sah menjadi pemain Harimau Selatan secara tetap. "Kenapa tiba-tiba mahu ikut peraturan sedangkan kes ini dari mula lagi tak ikut (peraturan)?," ujarnya. Sementara itu, Shafiq mengakui musim baharu nanti mereka mengharapkan jurulatih Aidil Sharin Sahak dapat membawa pasukan Kedah ke landasan yang sepatutnya. "Pada perlawanan persahabtan lalu Kedah menang 4-1 menewaskan Kelantan. Barisan pemain yang dipilih jurulatih sangat baik untuk perlawanan tersebut dan perlawanan yang menjadi tumpuan kami adalah untuk melihat kekuatan pasukan Ahad ini iaitu menentang Perak yang juga juara Piala Malaysia 2018. "Itu bakal menjadi perlawanan sebenar 'Unity Shield' yang julung kalinya. "Dengan adanya pemain muda dan pemain berpengalaman. Kedah sangat beruntung dengan adanya Kapten Harimau Malaya iaitu Zaquan Adha. "Dia ada karakter tersendiri dalam pasukan, berganding pula dengan Baddrol Bakhtiar. Harap pemain muda dapat belajar dengan mereka," tambahnya.