NILAI: Empat pemain digugurkan daripada skuad bawah 22 tahun kebangsaan ekoran mengalami kecederaan menjelang Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2019 yang akan berlangsung di Bangkok, bulan depan. Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee berkata tiga pemain dilanda kecederaan adalah Muhammad Izzan Syahmi Mustapa, Ariusdus Jais dan Muhammad Faisal Abdul Halim. Beliau berkata seorang lagi pemain yang turut digugurkan ialah Ariff Ar Rasyid Ariffin kerana belum sembuh daripada demam. "Saya berkemungkinan akan memanggil pemain dari Kedah atau Kelantan untuk memantapkan pasukan menjelang aksi sebenar kejuaraan AFF," katanya pada sidang media selepas aksi persahabatan dengan pasukan Mifa di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pada Sabtu. Terdahulu, pada perlawanan itu, Mifa kendalian ketua Jurulatih K.Devan menang 1-0 ke atas skuad muda negara dengan gol tunggal dijaringkan pemain import, Pedro Monteiro pada minit ke-21 melalui sepakan penalti. Mengulas mengenai perlawanan itu, Kim Swee berkata, beliau berpuas hati dengan aksi dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit permainan. "Perlawanan ini penting bagi menilai prestasi pemain dan kami masih memiliki tiga perlawanan persahabatan di Bangkok. "Saya akan menilai pemain dalam aksi seterusnya dan mencuba beberapa kombinasi. Pada perlawanan ini kombinasi di bahagian tengah sangat baik," katanya. Beliau berkata kekalahan pasukannya hari ini adalah disebabkan belum mencapai keserasian yang mantap memandangkan anak buahnya baru menjalani latihan selama empat hari. "Ini adalah perlawanan pertama kami dan saya berpuas hati," katanya.- Bernama