suria

Azizulhasni raih emas pada Kejohanan Trek Asia

KUALA LUMPUR:  Jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang berjaya menamatkan kemarau pingat pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia kali ke-39 selepas meraih pingat emas dalam acara pecut individu  di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia.

Pelumba kelahiran Terengganu itu meraih pingat emas kelima dalam kerjayanya selepas memenangi emas dalam acara berkenaan pada edisi 2008, 2009, 2014 dan 2017.

Pada pentas final, Azizulhasni, yang diberi jolokan ‘ The Pocketrocketman', menampilkan kayuhan bertenaga untuk mengetepikan cabaran pelumba China, Xu Chao pada perlumbaan ketiga dengan catatan masa 10.154 saat (s)  manakala Xu ketinggalan 0.004s.

Untuk rekod, Xu memenangi perlumbaan pertama dengan catatan 10.307s, sebelum Azizulhasni meraih kemenangan pada perlumbaan kedua dengan catatan 10.270s.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang meraih pingat perak dalam acara keirin sebelum ini, menambah koleksi pungutan pingat apabila menewaskan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe pada aksi penentuan pingat gangsa.

Muhammad Shah memenangi perlumbaan pertama dan kedua, masing-masing dengan catatan 10.380s dan 10.449s..- Bernama

Azizulhasni, Emas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain