suria

"Saya luah perasaan bukan menuduh" - Irfan

Irfan bersama jurulatiha Frantisek Petrovic pada Sukan SEA 2017.

PETALING JAYA: Atlet olehraga negara Muhammad Irfan Shamsuddin mempertahankan tindakannya meluahkan perasaan di laman sosial pada Khamis.

Atlet lempar cakera berusia 23 tahun itu menegaskan bahawa apa yang dimuat naik di Instagramnya itu bukan tuduhan, sebaliknya hanya menyampaikan apa yang terbuku dihatinya.

"Saya ada membaca kenyataan yang dibuat MSN (Majlis Sukan Negara) dan saya memohon maaf atas sebarang kesulitan," ujarnya dalam posting terbaharu di Instagram.

Irfan turut mempertahankan tindakannya mengenai isu jurulatih yang dibayar dengan duit poketnya sendiri selepas MSN membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak.

Irfan memberi penjelasan berkaitan status yang dimuat naiknya sebelum ini.

"Berhubung dengan jurulatih baharu yang saya pilih mengikut bajet MSN. Jurulatih yang saya mohon ini lebih murah berbanding yang lama sebab saya pilih secara peribadi kerana saya lebih tahu acara saya ini.

"Mengenai maklumat yang dihantar kepada MSN yang dikatakan tidak lengkap, ia adalah dokumen yang sama saya hantar kepada ISN (Institut Sukan Negara) Podium tapi tiba-tiba tidak lengkap," ujarnya.

Irfan juga memberitahu dia berlatih di luar negara kerana tiada program latihan terperinci sains sukan dan perubatan.

"Saya berlatih di Eropah, bukan di Timor Leste," katanya.

Pada Khamis, Irfan memuat naik status ditujukan kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Status yang dimuatnaik Irfan pada Khamis.

Namun selepas itu MSN tampil memberi kenyataan kecewa dengan tuduhan atlet pingat emas Sukan SEA 2013, 2015 dan 2017 itu.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, kenyataan Muhammad Irfan  disifatkan sebagai tuduhan melulu yang tidak sesuai dikeluarkan oleh beliau sebagai atlet kebangsaan.

Ahmad Shapawi dalam satu kenyataan media berkata, beliau sebagai Ketua Pengarah MSN mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap tuduhan tersebut dan sebarang keputusan yang diambil tidak ada kaitan dengan arahan atau pandangan Syed Saddiq sendiri.

Menurutnya, dakwaan Muhammad Irfan bahawa Kementerian Belia dan Sukan telah menamatkan kontrak jurulatih peribadi Frantisek Petrovic sebagai tidak benar.

Muhammad Irfan Shamsuddin

Artikel Lain