BEREGU lelaki nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia berada dalam kelas tersendiri untuk menjuarai Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur pada Ahad. Marcus-Kevin tidak berdepan masalah menewaskan beregu negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin straight set 21-15, 21-16 dalam masa 36 minit untuk memenangi USD 27,650 (RM113,688). Manakala naib juara Ee Yi-Yew Sin meraih USD 13,300 (RM 54,000). Penyampaian hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. “Perlawanan yang bagus, pemain tuan rumah mempunyai teknik serangan yang baik. Kami ada membuat beberapa kesilapan tetapi tetap berpuas hati dapat muncul juara di sini. “Perlawanan seterusnya lebih penting kerana beraksi di tempat sendiri, Indonesia. Ada beberapa perkara perlu diperbaiki dan harap mengulangi kejayaan yang sama di hadapan penyokong sendiri nanti,” kata Marcus kepada pemberita selepas perlawanan. Dalam pada itu Ee Yi berkata beliau mengakui kualiti permainan yang dipamerkan Kevin-Marcus masih sukar ditandingi dan gandingan bersama Yew Sin perlu berkerja keras menjadi lebih kompetitif dan muncul pasangan yang kuat. Ee yi bagaimanapun menyifatkan beliau dan Yew Sin semakin menunjukkan prestasi yang baik berbanding tahun lalu dan berharap terus konsisten dalam kejohanan lain selepas ini. Sementara itu, jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman turut mengakui gandingan beregu Indonesia terlalu istimewa dan mempunyai kualiti permainan yang tinggi. Marcus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo berada dalam kelas tersendiri untuk menjuarai Malaysia Masters 2019. - Foto AFP Paulus berkata anak buahnya banyak menunjukkan peningkatan namun masih perlu kerja kuat menjadi gandingan yang konsisten dan kuat. “Saya bangga pemain saya (Ee Yo-Yew Sin) ke final. Kevin-Marcus adalah beregu yang kuat, mereka terlalu istimewa berbanding daripada beregu-beregu yang lain. Teknik servis dan cara mereka mendapatkan mata itu bagus. “Kecerdikan mereka mengawal gelanggang dan persediaan mental mereka sangat bagus di gelanggang itu yang membuatkan mereka istimewa,” kata Paulus. - Bernama