PENYERANG Chelsea, Oliver Giroud besar kemungkinan berdepan tindakan larangan memandu selepas mengaku memecut melebihi had ditetapkan sebanyak empat kali dalam tempoh kurang setahun. Memandu kereta mewah Bentley, Giroud direkod memecut 60mph (96km/j) di zon 50mph (80km/j) di Willesden, utara London pada Mei. Bekas pemain Arsenal itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistert Willesden pada sesi perbicaraan Isnin, bagaimanapun pemain berusia 32 tahun itu tidak hadir. Pendakwaraya Alison Larkin berkata, Giroud telah mengumpul sembilan mata sejak Februari tahun lalu dengan tiga kesalahan berasingan sejak 2018. Majistret Nigel McNeil menganggap Giroud sebagai tidak stabil berkata, mengikut undang-undang tiga lagi mata perlu ditambah kepada lesen memandunya menjadikan 12 mata. "Kesalahan ini melibatkan tiga mata penalti dan ia akan dikenakan terhadapnya," katanya. Bagaimanapun, tambahnya, terpulang kepada majistret yang akan mendengar kes berkenaan pada 19 Februari ini dan memutuskan sama ada untuk melarang Giroud daripada memandu. Pada 2016, Bentley bintang bola sepak itu dikesan pada kelahuan tinggi di persimpangan Lytham Grove pada 2 Mei kira-kira 3.40 petang. Pendakwaraya berkata, Giroud menamakan dirinya sebagai pemandu, begitu juga pada insiden 18 Februari, 15 Mac dan 6 November lalu. Pada Isnin, peguam Giroud juga tidak hadir bagi pihaknya dan kes berkenaan ditangguhkan supaya pemain bola sepak itu dapat hadir pada prosiding seterusnya. Surat memaklumkan perkara itu telah disampaikan ke alamat terkini Giroud di Battersea di selatan London. "Dia tidak mengemaskini lesen memandunya," kata Larkin.-standard.co.uk