suria

Selamat datang Tarragona 'mesin gol' Kelantan!

Tarragona melengkapkan kuota import Kelantan. Foto Facebook Kelantan FA.

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) melengkapkan kuota empat pemain import bagi memperkuatkan pasukan itu pada saingan Liga Premier musim ini.

KAFA dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah menandatangani pemain asing keempat dari Uruguay Raul Andres Tarragona Lemos pada Selasa yang akan bermain di posisi penyerang.

"Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini pernah beraksi di Liga Uruguay dan mempunyai pengalaman luas bersama beberapa pasukan di Liga Amerika Selatan.

"Musim lalu dia juga cemerlang bersama pasukan Liga Korea Selatan, Ansan Greeners bermain di Divisyen 2 dengan menyumbang 18 jaringan selama dua musim bersama pasukan itu (2017-2018)," kata kenyatan itu pada Selasa.

Raul Adres Tarragona akan digandingkan bersama tiga lagi pemain import Kelantan iaitu dua pemain Brazil Cassio Francisco de Jesus, Flavio Beck Júnior dan bekas pemain kebangsaan Afghanistan Mustafa Zazai.

KAFA berkata pihaknya meletakkan harapan tinggi ke atas pemain berkenaan bagi mengatasi masalah ketumpulan penyerang pasukan itu sebelum ini.

"Kita harap beliau dapat mengekalkan gelaran 'mesin gol' ketika beraksi di Liga Korea musim lalu untuk membantu pasukan The Red Warriors (TRW) pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini," katanya.

Dalam kenyataan sama, Raul berkata beliau mahu mencipta nama pada saingan Liga-M dengan memberikan sumbangan seberapa yang beliau mampu.

"Ia adalah peluang untuk saya memperluaskan pengalaman dalam bola sepak kerana setiap negara sudah tentu mempunyai kelainan corak permainan bola sepak.

"Saya harap rakan sepasukan terutamanya pemain tempatan memberikan bantuan dan maklumat berkaitan pasukan dan pemain yang beraksi di liga ini (Liga-M)," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain