suria

Dik Wan tekad pertahan emas pada Sukan Paralimpik

GELARAN Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018 menjadi pembakar semangat buat atlet paralimpik elit negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Mohamad Ridzuan atau lebih mesra dengan panggilan Dik Wan, 31, menerima anugerah berkenaan daripada Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awal pagi Rabu, sebagai pengiktirafan kepada atlet para yang cemerlang di rantau Asia.

Mohamad Ridzuan yang meraih pingat emas acara 100m T36 (celebral palsy) pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, berkata pengiktirafan itu merupakan hadiah paling bermakna buat dirinya.

“Terima kasih kepada semua termasuk keluarga, jurulatih, Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta penyokong yang tidak pernah jemu memberi semangat dan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada saya. Perjuangan ini tidak bermakna tanpa sokongan anda.

“Saya berpuas hati dengan pengiktirafan ini kerana segala usaha saya berbaloi dan dihargai, bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat Asia,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Dubai, pada Khamis.

Atlet berasal dari Padang Besar, Perlis itu berkata beliau sudah bersedia untuk memulakan latihan bagi mengejar impian peribadinya itu.

Untuk rekod, Mohamad Ridzuan mencipta sejarah tersendiri dalam arena sukan para negara apabila menjadi atlet Malaysia pertama dinobatkan anugerah berprestij itu, seiring dengan pencapaiannya meraih banyak kejayaan sebelum ini.

Anak didik ketua jurulatih R. Jeganathan itu meraih tiga pingat emas, satu rekod dunia dan satu rekod Asia pada Sukan Para Asia Indonesia 2018, yang melayakkannya menjulang anugerah Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018.- Bernama

Mohamad Ridzuan, Dik Wan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain