PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) yakin tiada pemain pasukan itu terlibat dalam gejala rasuah atau terbabit dengan bookie. Presidennya Datuk Ahmad Amizal Ahmad Rafie (gambar) berkata beliau menaruh sepenuh kepercayaan terhadap pemain meskipun persatuan berdepan masalah tunggakan bayaran gaji. ARTIKEL BERKAITAN: Isu gaji: MFL arah PFA kemuka dokumen kewangan dalam masa 8 hari “Saya penuh kepercayaan pemain-pemain Perlis tidak akan melibatkan diri dengan perbuatan haram itu kerana mereka lebih sayangkan karier masing-masing,” katanya kepada Bernama pada Isnin. Beliau diminta mengulas pendedahan seorang bekas pemain Liga Perdana yang mendakwa pernah didekati bookie setelah mengetahui pasukan diwakilinya mempunyai masalah tunggakan gaji. Pemain itu dilaporkan berkata terpaksa meninggalkan sukan yang diminatinya selepas majikan gagal membayar gajinya sepanjang musim lepas.PFA menjadi tumpuan media susulan kegagalan persatuan melunaskan bayaran gaji untuk pemainnya sepanjang musim 2018.