KEDAH memintas Pahang untuk mengungguli persada Liga Super 2019 selepas meraih kemenangan bergaya 4-0 ke atas Felda United di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam Sabtu. Keputusan itu menyaksikan Kedah berkongsi tujuh mata dengan Pahang, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Melaka, namun berada di kedudukan teratas carta Liga Super menerusi perbezaan jaringan. Empat gol skuad Lang Merah dijaringkan oleh Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-16, Anmar Almubaraki (41'), Muhammad Shakir Hamzah (53') dan Mohd Fazrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-74. Pahang pula kekal di tangga kedua selepas seri 1-1 dengan Melaka pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka. Pada perlawanan berkenaan, Pahang terlebih dahulu berada di hadapan hasil jaringan Goulon Herold Mark seawal minit kelima permainan, sebelum bekas kapten skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim menyamakan kedudukan Melaka menerusi sepakan penalti pada minit ke-89. Anmar Fares Abdul Jabar Almubaraki menjaringkan gol kedua. - Foto Bernama Pahang sebelum itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Nor Azam Abdul Azih dilayangkan kad merah setelah menerima kad kuning kedua pada minit ke-80. Pendatang baharu, Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pula terpaksa bangkit sebanyak dua kali sebelum membenam PKNP FC 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak. Tiga gol PJ City FC dijaringkan oleh Pedro Henrique pada penghujung babak pertama perlawanan, Giancarlo Lopes Rodrigues (73') dan R. Barathkumar pada minit ke-82. Dua gol PKNP FC pula dihasilkan oleh Kalidou Coulibaly Yero pada minit ke-29 dan Muhammad Hafiz Ramdan pada minit ke-51. Dalam saingan Liga Premier, Selangor United meraih kemenangan kedua musim ini selepas menang tipis 3-2 ke atas Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Anmar Fares Abdul Jabar Almubaraki berjaya melepasi asakan dua pemain Felda United FC Ahmad Haziq Ahmad Fuad (kanan) dan Mohammad Raffi Nagoorgani (dua, kanan). - Foto Bernama Tiga gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Sergio Aguero pada minit ketujuh, sepakan penalti Abdul Hadi Yahya pada minit ke-78 dan gol padang Raslam Khan Abdul Rashid pada penghujung babak perlawanan. Dua gol Sarawak disumbangkan oleh Hudson de Jesus pada minit ke-16 dan Bobby Gonzales pada minit ke-87. Sementara itu, Muhammad Afiq Azmi menjaringkan gol tunggal pada minit ke-28 untuk membantu Pulau Pinang meraih kemenangan sulung selepas tiga perlawanan dengan menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. Sabah pula mengalahkan Terengganu FC II (TFC II) 3-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Tiga gol skuad Badak dijaringkan oleh Park Taesu pada minit ke-50, Luka Milunovic (64') dan Ricco Nigel Milus pada minit ke-73, manakala TFC II meraih gol sagu hati menerusi Mohammad Ramzi Sufian pada minit ke-39. - Bernama