suria

Ramal perlawanan Kedah-PJ City Boys sengit, Aidil Sharin turunkan 11 terbaik

Pemain PKNP FC Thomas Abbey (kanan) berebut bola dengan pemain Kedah Renan Da Silva Alves pada Perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung awal bulan ini. Keputusan penuh PKNP FC 0-2 Kedah.

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu pemain skuad hijau kuning supaya tidak mudah selesa ketika menentang MISC-MIFA (PJ City Boys) dalam saingan Liga Super di Petaling Jaya pada Jumaat malam.

Ini kerana, walaupun berjaya mencatat kemenangan selesa ketika menentang Felda United ia tidak bermakna anak didiknya akan berdepan situasi sama kali ini.

Jelas Aidil, PJ City Boys pastinya telah melakukan persiapan sebaik mungkin dengan kelebihan sebagai tuan rumah untuk menerima kunjungan Kedah.

"Kita tidak mahu dikejutkan oleh PJ City Boys, jadi pemain perlu memberi sepenuh perhatian dengan disiplin tinggi sepanjang permainan itu supaya kita dapat pulang dengan tiga mata.

"Keselesaan di atas padang akan menjerat kita, pemain tidak boleh lakukan kesilapan yang akan membuka ruang kepada lawan untuk mencipta jaringan, sebaliknya kita perlu berusaha mendapatkan kemenangan.

"Saya anggap perlawanan ini sengit dan kesebelasan utama yang terbaik akan dibentuk dalam usaha mengekang kemaraan lawan," katanya kepada mStar Online.

Aidil memberitahu, Anmar Almubaraki mengalami kecederaan pada perlawanan sebelum ini dan walaupun tidak serius tetapi keadaan pemain akan dipantau sepenuhnya sebelum membuat keputusan untuk diturunkan dalam perlawanan kali ini.

Bagaimanapun, katanya, pemain lain berada dalam keadaan siap sedia untuk menggalas tugas penting berkenaan.

“Apa yang melegakan saya ialah kemantapan dan persefahaman yang dipamerkan gandingan pertahanan yang dibarisi Renan Da Silva Alves, Shakir Hamzah, Mohd Alif Mohd Yusof dan Rizal Ghazali.

"Selain itu, saya juga mengharapkan pemain di bahagian tengah dan serangan akan mengekalkan momentum seperti sebelum ini dan terus memberi tekanan terhadap benteng lawan sepanjang permainan," ujarnya.



PJ City Boys, Kedah, Aidil Sharin

Artikel Lain