suria

Kim Swee bakal dapat pemain terbaik bagi saingan Kelayakan AFC B-23 Tahun

KETUA jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee boleh menarik nafas lega selepas diberi peluang mendapatkan barisan terbaik bagi menghadapi pusingan kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020, dari 22 hingga 26 Mac ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tiada pemain B-23 yang akan dipanggil pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk kejohanan empat negara Piala Airmarine 2019 bakal berlangsung dari 20 hingga 23 Mac ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kedua-dua kejohanan ini amat penting bagi FAM. Saya sudah mengadakan perjumpaan dengan Datuk Ong Kim Swee dan Tan Cheng Hoe baru-baru ini, dan kita ada persetujuan (dengan kedua-dua jurulatih berkenaan).

“Kita masih kekalkan pendirian pemain terbaik yang Datuk Ong Kim Swee mahukan, akan beraksi untuk pasukan B-23, manakala Cheng Hoe ada banyak pemain boleh dipilih daripada Liga Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis undian Piala Airmarine 2019 di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin.

Mengulas lanjut, Hamidin menegaskan Cheng Hoe mempunyai banyak pilihan pemain boleh dipilih daripada Liga Malaysia, berbanding Kim Swee yang berdepan kekangan untuk mendapatkan pemain terbaik bagi menghadapi pusingan kelayakan AFC B-23 2020.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah Kumpulan J  pusingan kelayakan berkenaan yang turut melibatkan tiga pasukan lain - China, Laos dan Filipina.

Dalam perkembangan berasingan, Hamidin memaklumkan badan induk itu akan mengadakan mesyuarat Rabu ini, bagi membincangkan mengenai keputusan mencalonkan jaringan pemain pertahanan negara, Muhammad Syahmi Safari untuk anugerah jaringan tercantik pada Anugerah Puskas Fifa 2019.

Muhammad Syahmi meledak jaringan cantik daripada luar kotak penalti ketika membantu Malaysia meraih keputusan seri 2-2 menentang Thailand pada aksi Piala AFF Suzuki 2018.

“Kita akan lihat balik jaringan tersebut sama ada FAM akan mencalonkan jaringan itu atau tidak. Jadi, terpulang kepada Sekretariat FAM untuk menentukan perkara berkenaan,” jelas Hamidin.

Untuk rekod, pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama Malaysia meraih Anugerah Puskas FIFA 2016 menerusi jaringan cantik ketika aksi Liga Super antara Pahang dan Pulau Pinang pada 16 Feb 2016 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Malaysia diundi menentang Singapura manakala Oman akan menentang Afghanistan pada saingan separuh akhir Piala Airmarine, 20 Mac ini.

Pemenang perlawanan berkenaan akan mara ke final, manakala pasukan yang tewas akan berentap pada perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat, dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung 23 Mac ini.-Bernama

Ong Kim Swee, B-23

Artikel Lain