PEMAIN pertahanan Selangor, Muhammad Syahmi Safari teruja dan tidak menduga gol jaringannya pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF, dicalonkan ke Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) 2019. "Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana setuju mencalonkan gol tersebut. "Saya rasa sangat teruja dan jika ada rezeki untuk saya... Insya-Allah akan tercalon dalam 10 terbaik," katanya mengenai jaringan pada perlawanan 5 Disember 2018 itu ketika dihubungi mStar Online. Pemain berusia 21 tahun itu menganggap gol tersebut antara jaringan terbaik pernah dilakukannya sepanjang kariernya. "Gol itu antara jaringan terbaik pernah saya lakukan. Lebih menarik ia gol pertama saya bersama skuad kebangsaan. "Kalau tengok secara kasar gol itu normal, dekat Eropah pun ada corak jaringan sebegitu. Cuma hantaran daripada Farizal sehingga sampai ke saya yang menjadikan ia unik dan berbeza," katanya. Dalam pada itu, Syahmi turut meminta semua rakyat Malaysia supaya mendoakan jaringannya itu tersenarai antara 10 gol tercantik untuk anugerah itu. ARTIKEL BERKAITAN: FAM cadang gol Syahmi calon Anugerah Puskas Fifa 2019 Syahmi (tengah) meraikan jaringannya dengan rakan pasukan. Foto AFP "Sudah tentu saya mengharapkan doa semua rakyat Malaysia. Tanpa mereka siapalah saya, " katanya. Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Stuard Ramalingam berkata keputusan menghantar cadangan pencalonan itu dibuat selepas mesyuarat peringkat Sekretariat Agung FAM pada Rabu. Keunikan gol yang terhasil menerusi tujuh hantaran melibatkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Farizal Marlias sebelum disudahkan dengan sepakan padu dari kaki kanan Syahmi. Syahmi juga antara tonggak utama skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan yang bakal beraksi dalam saingan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 pada 22-26 Mac ini. Sebagai rekod, pada Februari 2016, FAM turut menghantar surat cadangan pencalonan kepada Fifa untuk gol dihasilkan bekas pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri. Gol yang dijaringkan Mohd Faiz menerusi sepakan percuma unik, berjaya menarik perhatian seluruh peminat bola sepak dunia sekali gus dipilih sebagai pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016.