BEKAS jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez mengakui dia telah dihubungi wakil dari Liga Malaysia yang menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya. Gomez kini tidak membimbing sebarang kelab selepas ditamatkan kontrak oleh Persib Bandung pada Disember lalu di mana spekulasi kedatangannya ke Liga Malaysia bertiup kencang dikaitkan jawatan di Selangor. Jelas Gomez yang membantu skuad Harimau Selatan memenangi Piala AFC 2015, ketika ini beliau mengambil pendekatan kunci mulut sekali gus tidak akan mendedahkan identiti pasukan tersebut. Bagaimanapun, Gomes tidak menolak kemungkinan kembali membuat penampilan di Liga Malaysia. "Ada wakil dari Malaysia telah menghubungi saya tetapi saya tidak mahu bercerita lebih kerana perbincangan itu masih menemui kata putus atau lebih lanjut. "Siapa pasukan itu biarlah rahsia kerana saya menghormati semua pihak. Jika ada rezeki (membimbing pasukan Liga Malaysia), saya akan umumkan tetapi buat masa ini, tiada apa-apa rasmi secara hitam putih (dalam perjanjian)," katanya dalam kenyataan selepas dihubungi di Buenos Aires, Argentina pada Rabu. Bagaimanapun, Gomez tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya ketika ditanya mendapat peluang untuk melatih salah satu pasukan yang bertanding di unifi Liga Super. "Seperti saya katakan tadi, saya tidak mahu bercakap lebih tetapi jika tawaran itu ada, sudah pasti saya gembira untuk kembali bermain (melatih pasukan) di Liga Malaysia. "Liga Malaysia sentiasa istimewa di hati saya apatah lagi pengalaman manis saya bersama JDT ketika berada di sana. Tipu jika saya mengatakan tidak berminat untuk bermain di Liga Malaysia nanti. "Liga Malaysia memiliki tarikan tersendiri. Imej Liga Malaysia sudah semakin terkenal dan ramai pemain-pemain khusus dari Asia Tenggara mahu bermain di sini. Jadi, sudah pasti saya mahu kembali jika dapat peluang itu," tambahnya.