PARIS Saint-Germain (PSG) dituduh menyimpan Adrien Rabiot sebagai 'tebusan' dan melayan pemain tengah Perancis itu seperti seorang 'banduan'. Rabiot kini dalam buangan di Parc des Princes selepas menolak untuk menandatangani kontrak baharu dengan kelab tersebut. Dia tidak bermain sejak 11 Disember lalu setelah disekat daripada menjalani latihan dengan pasukan pertama. Semuanya gara-gara Rabiot menolak mengadakan perbincangan mengenai lanjutan tempoh kontrak dengan PSG. Pemain berusia 23 tahun itu bersedia untuk meninggalkan Paris pada perpindahan bebas, hujung musim ini. Persoalannya, pasukan manakah yang akan disertai oleh Rabiot pada musim akan datang selepas dikaitkan dengan Barcelona, Juventus dan Liverpool? Kini, ibu yang juga ejennya, Veronique berkata Rabiot menjadi lemah dengan situasi semasa dan menganggap layanan itu sebagai kejam. "Saya enggan menangis atau membuatkan Adrien rasa lebih lemah dengan mengatakan dia tidak bagus. "Kita sedang menyerang sisi seorang manusia sekarang. Kami bersederhana. Saya hanya boleh beritahu yang dia berasa teruk dengan semua yang berlaku. "Adrien ialah seorang banduan! Dia dijadikan tebusan oleh PSG. Situasi ini kejam. "Seorang pemain bola wujud untuk bermain, bukannya duduk di 'rak'. Adrien tidak bermain sejak Disember dan mungkin sampai Jun," kata Veronique kepada L'Equipe. Rabiot dikritik teruk di ibu negara Perancis setelah ditemui berada di kelab malam selepas PSG tersingkir daripada Liga Juara-Juara. - Mirror UK