“SEKARANG belum rasa apa-apa lagi, nanti nak lawan mulalah datang gementar,” jelas Mohammed Mahmoud yang menjadi wakil tunggal Malaysia pada aksi ONE: A New Era di Tokyo,Jepun Ahad ini. Mohammed atau dikenali dengan panggilan Jordan Boy, 23, mengakui telah menjalani latihan rapi menjelang aksi pertama dalam cuaca sejuk di Tokyo yang turut menyaksikan ONE Championship memasuki pasaran Jepun buat kali julung kalinya. “Lebih kurang dua minggu berada di Thailand yang teruk, dalam tempoh tiga hari berat badan turun lebih kurang 6 kilogram dari 71kilogram. Saya beraksi dalam kategori 66kilogram. “Saya datang ke sini dengan tekad mahu mencipta sesuatu yang baharu walaupun sedar lawan pada Ahad ini bukan calang-calang orang. “Dia merupakan juara dunia dua kali dari Thailand, Panicos Yusuf of Cyprus dalam bantamweight Muay Thai. “Saya ada dengar ketika sidang media dia mahu melakukan ‘knock out’ pada pusingan pertama ke atas saya, dan begitu juga saya. “Saya akan cuba menggunakan teknik berbeza-beza ketika melawannya nanti,” ujar Jordan kepada mStar Online di Tokyo. Aksi Jordan Boy (kanan) di Kuala Lumpur Disember lalu. Sementara itu, Jordan turut ditemani dua orang penting iaitu abangnya Nidal serta bapa, Mahmoud Omar. “Walaupun tak semua keluarga dapat hadir, abang dengan ayah mesti ada. Kalau mereka tak ikut, akan rasa semangat tu lain sedikit,” jelas pemuda berdarah kacukan Jordan-Malaysia itu. Selain itu, Mahmoud memberitahu dia yakin Mohammed akan melakukan yang terbaik bertemu lawannya nanti. “Ketika pertarungan di Manila Januari lalu, saya tidak ada di sampingnya kerana pulang ke Turki sebab ibu saya (nenek Jordan) meninggal dunia. “Sudah tentu saya akan sentiasa ikut dalam setiap kejuaraan kerana dia masih muda dan banyak perkara yang Mohammed perlu belajar. “Yang penting dia kena tahu bahawa peluang pusingan pertama perlu digunakan sebaik-baiknya. “Jangan tunggu pusingan kedua untuk tunjuk belang,” jelasnya. Pada aksi ONE: A New Era ini tumpuan utama perlawanan sudah pasti kepada acara ONE Lightweight yang menyaksikan juara dunia W Eduard 'Landslide' Folayang akan mempertahankan tali pinggangnya berdepan dengan pejuang terkenal Jepun, Shinya 'Tobikan Judan' Aoki di Stadium Ryoguku Kokugikan.