suria

"Pasti akan pantau" - ISN janji beri perhatian terhadap Azeem

Muhammad Azeem dianggap permata baharu olahraga tanah air.

DIANGGAP sebagai permata baharu sukan olahraga tanah air, Muhammad Azeem Mohd Fahmi akan diberi perhatian sewajarnya oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, bakat seperti Azeem yang berusia 15 tahun jarang-jarang ditemui di Malaysia.

“Kami akan berjumpa dengan jurulatihnya serta atlet itu sendiri untuk mengetahui program atau latihan yang sedang dijalankan.

ARTIKEL BERKAITAN: "Usain Bolt Malaysia' ditemui! Jurulatih kata “perjalanannya masih jauh, jangan terlalu beri tekanan”

“Dengan usianya yang masih muda sudah pasti ISN akan pantau dari masa ke semasa,” ujarnya kepada mStar ketika ditemui selepas majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018 malam Selasa.

Ahmad Faedzal beri jaminan Muhammad Azeem akan mendapat perhatian sewajarnya daripada ISN.

Ahmad Faedzal juga memberitahu, pihaknya berjanji akan memastikan bakat Azeem terus digilap dengan perancangan yang lebih sistematik.

“ISN pastinya akan memantau atlet ini secara saintifik, pendedahan ujian sains sukan seperti pergerakan biomekanik dan sebagainya.

“Catatan 10.63 saat yang dibuat itu (Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia) amat jarang berlaku, malah ia merupakan masa yang dicatat oleh atlet-atlet  senior di peringkat Asean.

“Bagaimanapun masanya masih panjang dan banyak lagi kejohanan yang dia perlu lalui," ujar Ahmad Faedzal.

Dalam masa yang sama, Ahmad Faedzal mengakui tugas ini melibatkan beberapa pihak bagi memastikan permata ini sentiasa bersinar.

“Selain kami, kerjasama daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta MSN Perak juga diperlukan bagi merangka program yang bersesuaian untuknya,” tambah Ahmad Faedzal.

Sebagai rekod, Azeem merakam rekod baharu dengan catatan terpantas 10.63s acara 100 meter pada Kejohanan MSSM yang kini sedang berlangsung di Johor.

Muhammad Azeem, Ahmad Faedzal, ISN

Artikel Lain