PARIS-Saint Germain merancang untuk mendapatkan penjaga gol Manchester United, David de Gea secara percuma pada tahun depan, menurut beberapa laporan. De Gea kini dikaitkan dengan perpindahan musim panas dari Old Trafford selepas berdepan dengan musim yang sukar kerana gagal bersetuju terhadap kontrak lanjutan bersama kelab itu. Manchester United berminat untuk mengekalkan penjaga gol Sepanyol itu tetapi menyedari mereka akan kehilangannya selepas kontrak pemain itu berakhir pada musim panas akan datang. Sementara itu, PSG telah lama menjangkakan untuk mendapatkan pemain berkenaan. Menurut The Express, PSG mungkin akan melihat perjanjian pra-kontrak bersama De Gea pada Januari depan yang menyaksikan pemain itu berpindah ke Paris secara percuma pada musim panas 2020. Walaupun tanpa bayaran fi yang dikenakan, juara Ligue 1 Perancis itu boleh menawarkan gaji yang lebih lumayan kepada De Gea. - Mirror UK