PERSATUAN Kanu Malaysia (Masca) akhirnya berjaya meyakinkan pakar lumba bot tradisional (TBR) dari China, Lu Changsong untuk menerima tawaran menjadi pengarah teknikal badan induk itu. Dengan ikatan kontrak hingga 2021, kehadiran Changsong dianggap tepat pada masanya dalam usaha kem kanu negara menamatkan kemarau pingat di Sukan SEA 2019. Presiden Masca, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin ketika mengesahkannya berkata, Changsong sebenarnya bukan asing dalam arena kanu negara kerana beliau sebelum ini pernah membantu Johor untuk menjulang tiga pingat emas pada Festival Antarabangsa TBR Iskandar Puteri. "Saya amat berbesar hati dan gembira kerana pada akhirnya kami berjaya menandatangani pengarah teknikal dari China. Ia sebagai persiapan awal bagi menghadapi Sukan Asia Hanzhou 2022. "Saya yakin dengan kehadirannya mampu meningkatkan peluang kita untuk memenangi pingat kerana beliau adalah jurulatih berpengalaman. "Apapun masih terlalu awal untuk saya bercakap mengenai program latihan, biar tunggu duduk berbincang dengan pengerusi Jawatankuasa Disiplin terlebih dahulu. "Malah, saya juga enggan meletakkan tekanan tinggi kepadanya, apa yang penting adalah membangunkan sukan ini tetapi kalau keputusan segera dicapai ia adalah bonus tambahan," katanya dalam satru kenyataan pada Khamis. Begitu pun usaha meyakinkan Changsong tidak semudah disangka apabila Masca terpaksa menghantar delegasi diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Michael Wong ke Zhaoqing, China pada minggu lalu. Bagi Michael sendiri, ia satu perjanjian yang menguntungkan apatah lagi bekas jurulatih China itu diketahui dengan kemampuannya melahirkan juara dunia. "Beliau bukan jurulatih calang-calang, buktinya apabila beliau pernah mengemudi pasukan TBR China memenangi tiga pingat emas pada Sukan Asia 2010," katanya. Malaysia akan menyertai lima daripada enam acara TBR yang dipertandingkan di Sukan SEA pada November ini. Menjadikan detik itu lebih istimewa Megat Shahriman sendiri turut akan menggalas cabaran sebagai atlet negara kali ini.