suria

Faktor nasib punca PDRM layak ke Liga Super - Pengurus PDRM

Pemain-pemain PDRM meraikan gol pada perlawanan menentang Pulau Pinang Sabtu lalu.

DALAM tempoh kurang 24 jam yang lalu, pasukan Pulau Pinang terpaksa menerima hakikat bahawa impian untuk bersaingan dalam Liga Super musim depan musnah sekelip mata.

Pada perlawanan Sabtu lalu, skuad Harimau Kumbang berjaya menumpaskan PDRM 2-1 dalam perebutkan tempat kedua Liga Premier walaupun kedua-dua pasukan berkongsi 30 mata.

Bagaimanapun kegagalan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) mengikut arahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) memakan diri apabila dipotong enam mata sekaligus jatuh ke kedudukan ke tujuh liga.

Pun begitu, Pengurus Pasukan PDRM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar memang tidak terkejut dengan hukuman yang dikenakan ke atas Pulau Pinang ini memandangkan ia sepatutnya telah sedia maklum.

"Sebenarnya  Pulau Pinang sudah sedia maklum dengan situasi ini. Saya tidak terkejut dengan pengumuman PDRM ke Liga Super tetapi lebih terkejut tindakan pengadil pada perlawanan hari itu.

"Di sini juga faktor nasib memainkan peranan kerana pada malam yang sama menyaksikan Negeri Sembuilan dan UiTM mengikat seri 1-1. Kalau keputusan berbeza lain pula nasib kami," ujarnya kepada mStar.

Kamarul Ariffin juga memberitahu, sehingga kini dia belum mendapat hitam putih mengenai kelayakan pasukannya mara ke Liga Super musim depan.

"Saya masih menunggu surat rasmi daripada MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) untuk perkara ini. Selepas itu barulah saya akan mengumumkan mengenai perancangan PDRM musim depan atau pun mengenai status saya sama ada mahu terus pegang jawatan ini atau tidak," katanya ringkas.

Perlawanan tersebut menyaksikan tiga pemain The Cops dilayangkan kad merah, selain berlaku adegan tumbuk menumbuk di masa kecederaan yang menyebabkan perlawanan terhenti selama beberapa minit.

Kamarul Ariffin bakal pengumuman perancangan skuad PDRM tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai MFL, Kevin Ramalingam mengesahkan PDRM menjadi pasukan pengganti kepada Pulau Pinang dalam saingan Liga Super musim depan.

Terdahulu, Pulau Pinang sepatutnya layak ke Liga Super 2020 selepas menamatkan kempen Liga Premier di tangga ketiga pada musim ini di belakang juara Sabah dan Johor Darul Ta’zim  II (JDT II).

JDT II yang menjadi kelab feeder kepada JDT tidak layak ke Liga Super dan slot itu diberikan kepada pasukan ketiga.

Namun tuah tidak memihak kepada Pulau Pinang selepas mereka berdepan hukuman penolakan enam mata daripada Fifa gara-gara terlibat masalah tunggakan gaji membabitkan bekas import, Reinaldo Lobo yang menyertai Harimau Kumbang dari 2015 hingga 2017.

Penolakan enam mata menyaksikan Pulau Pinang jatuh ke tangga ketujuh manakala pasukan yang menggantikan mereka ke Liga Super adalah PDRM yang melonjak ke tangga ketiga sejurus perkiraan semula kedudukan Liga Premier musim ini.

Mengulas lanjut, Kevin menegaskan keputusan itu berkuatkuasa serta merta selepas menerima surat daripada Fifa yang mengarahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan arahan supaya Pulau Pinang dikenakan pemotongan enam mata.

“Arahan yang MFL terima (daripada FAM) adalah untuk memotong mata Pulau Pinang itu kekal dan sudah tentu pasukan (pengganti Pulau Pinang itu adalah) PDRM yang layak ke Liga Super.

“Saya ada terdengar pasukan Pulau Pinang mahu membuat rayuan dan sebagainya. MFL mendoakan selamat maju jaya dalam rayuan itu.

“Buat masa ini, arahan yang dibuat Fifa yang dihantar oleh kami perlu dilaksanakan serta-merta dan jika tindakan itu tidak diambil, maka tindakan ke atas FAM boleh dikenakan daripada Fifa.

“Bukan untuk kita pertikaikan arahan daripada Fifa dan jika ada sesuatu perlu diubah pada masa akan datang, kita harap dibuat secepat mungkin kerana mahu pasukan ke Liga Super itu dapat bersedia lebih awal,” ujarnya.

Kamarul Ariffin, PDRM, Pengurus

Artikel Lain