suria

KLHA lantik dua individu berpengalaman teraju program pembangunan

Megat Shahriman bersama Iman (kir), I Vikneswaran (Timbalan Presiden KLHA) dan Ahmad Nizam (kanan) pada majlis penyerahan surat perlantikan pada Khamis.

BAGI memastikan program pembangunan sukan hoki terus berada di landasan tepat, Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) telah melantik bekas penolong jurulatih skuad hoki wanita negara, Iman Gobinathan sebagai ketua pembangunan prestasi.

Keputusan itu dicapai sejurus selepas mesyuarat jawatankuasa KLHA kali ke-2 bagi penggal 2019-2020 pada minggu lalu.

Gobinathan,41, bakal disertai bekas jurulatih pembangunan Uddingston HC, Ahmad Nizam Yusof selaku ketua pembangunan bakat KLHA.

Nizam, 39, sebelum ini pernah berkelana selama 13 tahun di Scotland. Presiden KLHA, Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin berkata, ia kejayaan bermakna buat KLHA untuk mengikat kedua-dua jurulatih tersebut yang dianggap antara jurulatih meningkat naik tempatan.

“Hari ini adalah hari yang bersejarah buat KLHA kerana buat julung kalinya dalam sejarah hoki Kuala Lumpur, kita akan memperkenalkan dua jawatan baharu dalam struktur kejurulatihan hoki Kuala Lumpur iaitu Ketua Pembangunan Prestasi dan Ketua Pembangunan Bakat.

“Kita lihat dengan kewujudan dua jawatan baharu ini dapat menambah baik aspek latihan sedia ada supaya lebih sistematik dan ‘up to date’.

"Malah, KLHA percaya menerusi usaha ini dapat mengangkat semula Kuala Lumpur sebagai kilang melahirkan pemain negara,” katanya ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Artikel Lain