suria

Kejuaraan AFF B-18: Kehadiran pasukan mantap tawar ujian sebenar kepada pemain - Maloney

Pasukan Bawah 18 Tahun negara bakal memulakan saingan Kejuaraan AFF pertama pada Rabu bertemu tuan rumah, Vietnam. Foto: FAM

KETUA jurulatih, Brad Maloney kini memberi tumpuan lebih kepada prestasi pasukan daripada mempertahankan Kejuaraan AFF Bawah 18 Tahun (B-18) 2019 di Vietnam.

Jurulatih dari Australia itu berkata dia lebih mementingkan hasil untuk melihat bagaimana pemain dapat menyesuaikan diri dengan falsafah gaya permainan baharu yang diajar sejak hari pertama mengambil alih daripada bekas jurulatih, Bojan Hodak, lewat Jun lalu.

Maloney, yang juga pembantu ketua jurulatih skuad negara bawah 22 tahun Datuk Ong Kim Swee menekankan pentingnya mengekalkan falsafah dan nilai yang sama dengan pasukan bimbingan Kim Swee.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Vietnam, Singapura, Kemboja, Thailand dan Australia.

Ujian pertama adalah bertemu Vietnam pada Rabu ini diikuti aksi dengan Singapura (Jumaat), Kemboja (11 Ogos), Australia (13 Ogos) dan Thailand pada 15 Ogos.

“Ia satu undian yang sukar tetapi sebaliknya ujian yang sangat baik untuk melihat tahap di mana pemain berada serta memberi gambaran jelas menjelang Kejohanan AFC November ini,” katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Vietnam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.

Mengulas perlawanan peringkat kumpulan, Maloney berkata dengan kehadiran pasukan yang mantap ia akan menawarkan ujian sebenar serta pengalaman berharga kepada pemain.

“Memang sukar kerana Vietnam adalah pasukan yang kuat serta selaku tuan rumah ia memberi motivasi kepada pasukan itu manakala kebanyakan pemain Australia beraksi dengan kelab liga negara itu serta beberapa pemain pernah beraksi di peringkat senior," katanya.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa pasukannya mahu bermain dengan sebaik mungkin dan kompetitif.

Pada edisi lalu, Malaysia, selaku naib juara sebanyak lima kali, akhirnya muncul juara selepas menewaskan Myanmar 4-3. -Bernama


Bawah 18, Kejuaraan AFF, Brad Maloney

Artikel Lain