SEORANG pemain bola sepak berbakat yang mewakili negaranya di peringkat remaja membunuh diri selepas bergelut dengan kecederaaan berpanjangan. Joel Darlington, 20, ditemui abangnya, Kyran dalam keadaan tergantung di kediamannya di Gellifor, Utara Wales bersama dengan beberapa nota bunuh diri pada 18 Mac lalu. Joel dianggap pemain muda yang akan menyinar selepas menjalani sesi percubaan bersama Manchester United dan beraksi mewakili Wales. Namun dia mudah cemas dan dibuang kolej selepas kerap mengalami kecederaan belakang. Ibu bapanya, Shaun Darlington dan Dawn Davies tidak hadir pada sesi prosiding inkues kematian Joel. Dalam satu kenyataan, ibunya mendedahkan Joel pernah menjalani percubaan dengan United di mana dia mengalami keretakan tangan. Dia juga menyertai akademi Bala Town dan muncul penjaring terbanyak pada musim 2016-2017. Pada Jun 2017, Joel mengalami kecederaan belakang dan dia menjalani rawatan fisioterapi tetapi keadaan tidak berubah sehingga memaksanya untuk mencuba kaedah akupunktur. Sehari sebelum meninggal, Joel turut berbual dengan bapanya secara serius mengenai masa depannya. - Metro.co.uk