DITUDUH tidak bertanggungjawab gara-gara meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Sembilan (PBMNS), Faliq Firdaus tampil memberi penjelasan. Selasa lalu, Faliq dilaporkan meletak jawatannya serta merta sekali gus dikatakan memberi kesan kepada persiapan skuad itu bagi menghadapi kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) memandangkan dia juga bertindak sebagai pengurus. Susulan itu, Faliq pada Jumaat mendedahkan punca sebenar dia meletak jawatan yang dipikulnya sebelum ini. ARTIKEL BERKAITAN: Skuad Negeri Sembilan terima tamparan pengurus pasukan letak jawatan "Ya, tindakan ultimatum tersebut diambil selepas permohonan bagi mendapatkan sokongan kewangan daripada pihak tertinggi persatuan tidak diendahkan. "Tindakan ini diambil bagi memberikan akauntabiliti kepada PBMNS bagi berkongsi tanggungjawab dalam menguruskan pasukan dan menjaga nama baik persatuan. "Sebagai pengurus pasukan, saya telah mengeluarkan perbelanjaan hampir RM30,000 secara khusus dalam mempersiapkan pasukan menjelang Piala Emas-Raja-Raja. Pasukan PBMNS 2019. "Malahan walaupun sudah meletakkan jawatan sebagai timbalan presiden dan pengurus pada Selasa lepas, saya masih komited membayar elaun pemain dan jurulatih, di samping memastikan pasukan mendapat kelengkapan yang secukupnya menjelang kejohanan dan mengatur pergerakan pasukan. "Adakah saya tidak bertanggungjawab?" jelas Faliq dalam satu kenyataan kepada mStar. Menurut Faliq tuduhan tidak bertanggungjawab yang dilemparkan oleh Setiausaha PBMNS, Abdul Rafi Abdul Murad amat berat dan tidak adil. "Saya dimaklumkan pihak persatuan mempunyai dana yang mencukupi bagi membantu sedikit persediaan pasukan, termasuk beribu wang ringgit yang saya sumbangkan secara peribadi kepada PBMNS pada awal tahun. "Persoalannya, mengapa wang itu tidak disalurkan sedikit? Tidak bolehkah ianya disumbangkan sedikit bagi menunjukkan akauntabiliti persatuan kepada pasukan Negeri Sembilan dan bukannya meletakkannya di bahu seseorang individu sahaja? "Atau PBMNS bercadang untuk membawa wang tersebut ke dalam kubur? "Nasihat saya kepada PBMNS, berhenti minum 'kool-aid' terlalu banyak dan berhenti memalukan diri sendiri di khalayak umum kerana tindakan mereka yang menyatakan saya tidak bertanggungjawab tidak masuk akal dan terang sekali bersifat 'mala fide' (niat jahat). "Pengajaran bersama PBMNS sebagai timbalan presiden akan saya jadikan iktibar, walaupun saya kesal kerana beberapa program pembangunan yang direncanakan tidak dapat dilaksanakan," jelasnya panjang lebar. Sebagai rekod, PERR 2019 akan bermula pada 14 hingga 19 September untuk peringkat kumpulan dan akan berlangsung secara karnival selama sebulan di beberapa venue seperti Stadium Mini Jitra, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) dan UUM. Pada saingan kali ini yang menyaksikan Kedah selaku tuan rumah diundi dalam Kumpulan C bersama Negeri Sembilan dalam Kumpulan C bersama-sama Pahang, Kelantan, Melaka dan Angkatan Tentera Malaysia.