LIGA Dron Asia: Siri Iskandar Puteri membuka tirai buat julung kalinya berlangsungdi Kompleks Sukan EduCity. Lebih menarik liga dua hari yang dianjurkan oleh Iskandar Investment Berhad (IIB) menerusi kolaborasi antara Asia Drone League, Iskandar Innovations Sdn Bhd dan EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd turut menyediakan hadiah lumayan keseluruhan bernilai RM25,000 kepada pemenang. Hampir 50 pemain dron antarabangsa daripada lapan negara seperti Jepun, Korea Selatan, Thailand dan India telah mengesahkan penyertaan liga yang mempertandingkan dua kategori tumpuan iaitu terbuka dan 'beginner' buat peserta antarabangsa serta tempatan tanpa mengira had umur. Ketua Bahagian Digital IIB, Mohd Nukman Abdul Rahman nyata optimis dengan potensi yang dimiliki sukan dron dan perkembangan Liga Dron Asia yang bakal menjadi satu kejohanan bertaraf antarabangsa. Menurutnya, kepentingan penganjuran festival berkenaan adalah untuk memperkembangkan lagi sukan dron di negara ini. “Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri merupakan festival dron pertama yang diadakan di negara ini yang akan membantu perkembangan sukan dron di negara kita. Walaupun sukan ini masih baharu, tetapi ia memiliki potensi yang besar dan banyak bakat dapat dicungkil melalui platform kami sediakan. "Justeru itu, kejohanan seperti ini amat sesuai buat mereka yang masih baru dan ingin mencuba pamerkan bakat dimiliki selain daripada keinginan kami mengangkat Liga Dron Asia setanding dengan Drone Racing League dan Asia Drone Championship," katanya. Bagi Pengarah Urusan EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi, pihaknya selaku penyedia venue pertandingan dan festival dron berkenaan berharap kesemua peserta serta pengunjung selesa dengan kemudahan bertaraf dunia yang ada di Kompleks Sukan EduCity. “Kami memberikan yang terbaik untuk penganjuran kali pertama Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri dan berharap pengunjung dapat hadir beramai-ramai memeriahkan festival ini. “Lokasi yang menarik dan pelbagai aktiviti di Kompleks Sukan EduCity pastinya membolehkan festival dron ini berlangsung lebih menarik dan berprestij,” jelasnya. Dron atau nama lainnya pesawat tanpa pemandu (UAV) kini bukan lagi digunakan secara eksklusif bagi tujuan ketenteraan seperti masa lampau, malah kini telah menjadi hobi dan menjadi sukan kompetitif masyarakat antarabangsa. Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri juga turut mendapat sokongan daripada Iskandar Innovations Sdn Bhd, EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).