PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak berharap pemainnya dapat meneruskan rentak kecemerlangan pada pertemuan menentang FC Seoul pada pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 di Korea Selatan pada 28 Jan ini. Adil Sharin yakin dengan semangat yang tinggi serta keserasian yang ditunjukkan semua pemain, anak buahnya itu mampu menggalas cabaran itu walaupun menyedari ianya bukanlah sesuatu yang mudah. "Saya fikir ini bukan mudah, kami perlu bekerja keras lagi sebabnya tahap permainan di Korea adalah tinggi, tapi dalam bola sepak saya percaya apa saja boleh berlaku, jika kita berusaha lebih sudah pasti akan dapat keputusan yang baik. "Kemenangan malam tadi langkah yang positif untuk pemain. Sebagai jurulatih sudah pasti saya mahukan yang lebih baik setiap hari daripada pemain," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Kedah menewaskan Wofoo Tai Po FC dengan jaringan 5-1. Kemenangan bergaya itu sekaligus melayakkan pasukan Lang Merah meneruskan saingan di pusingan ketiga kelayakan bertemu FC Seoul. Mengulas perlawanan malam tadi, Aidil berkata, walaupun ketiadaan tonggak utama pertahanan, Muhammad Shakir Hamzah, ia sedikit pun tidak menjejaskan corak permainan yang diarahkan kerana berjaya diisi dengan baik oleh pemain lain. Selain itu, gandingan mantap dua pemain import baharu, Kipre Thechte dan Kpah Sean Sherman banyak mengelirukan barisan pertahanan Tai Po FC sebelum disudahi dengan beberapa jaringan. "Tahniah kepada semua pemain yang banyak bertungkus lumus sejak pra musim lagi. Lepas ini kita bagi fokus kepada ACL kemudian piala Sumbangsih kerana saya menjangkakan saingan liga tempatan akan sengit kerana banyak pasukan hebat-hebat," katanya. Sementara itu, Kipre berkata, beliau tidak menjangka dapat menjaringkan gol seawal minit ke-3 yang membangkitkan semangat pasukan seterusnya menghasilkan lebih banyak jaringan hingga tamat perlawanan. “Kita dah dapat apa keputusan yang kita nak, tugas saya adalah menjaringkan gol jika ada peluang baik,” katanya.-Bernama