suria

EduCity lancar fasiliti sukan terbaharu

Khairil Anwar Ahmad (lima dari kanan, barisan belakang) melancarkan kolam pemanas badan di Kompleks Sukan EduCity, baru-baru ini.

EDUCITY Iskandar Malaysia Sdn Bhd (EduCity) mengumumkan fasiliti terbaharu di Pusat Akuatik iaitu kolam renang untuk sesi pemanas badan dengan panjang 25 meter sekali gus melengkapkan kolam bersaiz Olimpik bersaiz 50 meter sedia ada ketika ini yang telah dibina pada 2012.

Lebih menarik kolam pemanas badan (warm-up) berkenaan dibina dengan beberapa kemudahan terkini termasuk sistem catatan masa dan papan skor sekali gus menjadikan ia antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara selain menepati keperluan bagi penganjuran kejohanan antarabangsa.

“Projek ini telah bermula pada 2019 dan kami amat berbangga kerana ia siap seperti dijadualkan iaitu pada 2020 yang akan menyaksikan penganjuran SUKMA Johor pada Julai ini.

“Kami meletakkan sasaran untuk menjadi tuan rumah bola sepak dan sukan bola jaring dalam masa sama pembukaan kolam ini akan mejadi kemudahan terbaik buat atlet untuk berlatih sebelum menyertai kejohanan besar,” ujar Pengerusi EduCity dan Presiden/CEO Iskandar Investment Berhad Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad.

Sementara itu ini juga adalah inisiatif pihak EduCity untuk mempromosikan Malaysia destinasi pembelajaran terbaik menerusi kemudahan yang ada di EduCity sekali gus diharap mampu menarik pelajar antarabangsa menimba ilmu di negara ini.

“Dalam masa sama kami juga menjalin kerjasama baik dengan organisasi sukan dan kelab untuk menjalankan klinik serta kejohanan dengan fokus kepada atlet remaja.

“Malah pada 2019 menyaksikan kami telah menganjurkan 60 acara dengan 80 peratus adalah melibatkan sukan,” kata Pengarah Urusan EduCity, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi.

Ketika ini kolam renang bersaiz Olimpik di Pusat Akuatik telah digunakan lebih daripada 30,000 perenang profesional dan atlet tempatan serta antarabangsa sejak ia dibuka kepada umum pada 2012.

Sejak daripada itu juga telah menyaksikan Pusat Akuatik menjadi tuan rumah kepada beberapa penganjuran kejohanan renang serta klinik berkaitan sukan berkenaan menerusi Program Pembangunan Renang EduCity (ESDP) pada 2019.

Menerusi program tersebut beberapa perenang remaja dari masyarakat Orang Asli Seletar telah dilatih untuk bersaing secara profesional.

Kolam renang dan kolam pemanas badan yang baharu di Pusat Akuatik ini juga mendapat pensijilan daripada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) Kolam pemanas badan berkenaan dengan panjang 25 meter berkenaan kini dibuka kepada umum untuk latihan dan pertandingan.

Educity, kolam renang, Olimpik

Artikel Lain