suria

“Persaingan ke Liga Juara-Juara Eropah bermula sekarang” - Lampard

Lampard kecewa selepas pasukannya gagal menang di laman sendiri.

JURULATIH Chelsea, Frank Lampard memberitahu bahawa persaingan untuk merebut slot ke Liga Juara-juara Eropah baru bermula selepas anak buahnya tewas 2-0 kepada Manchester United di Stamford Bridge, awal pagi Selasa.

Sistem video bantuan pengadil (VAR) menafikan sebanyak dua kali gol yang dijaringkan oleh pemain The Blues , malah mereka turut berang dengan tindakan kasar Harry Maguire yang menendang Michy Batshuayi, namun tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh pengadil.

Lampard jelas kecewa dengan prestasi yang dipamerkan pemain-pemainnya yang setakat kini hanya mencatat 4 kemenangan daripada 14 perlawanan terakhir.

"Sudah tentu jika peluang yang hadir tidak dimanfaatkan, kita tidak akan menang meskipun menguasai sebahagian besar perlawanan," ujar Lampard.

Dia mengambil keputusan yang berani apabila menggugurkan penjaga gol utama, Kepa Arrizabalaga dan menggantikan Willy Caballero yang berusia 38 tahun.

Solskjaer (kiri) kurang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun menang 2-0.

Sementara itu, jurulatih Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui persembahan anak buahnya kurang memberangsangkan meskipun memperoleh kemenangan.

"Saya tidak rasa kami bermain dengan baik terutamanya pada babak pertama. Permainan agak perlahan dan membosankan", jelas Solskjaer.

Kemenangan ini melonjakkan kedudukan United ke tangga ketujuh liga sekaligus berpeluang untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah selepas Manchester City digantung selama dua musim daripada menyertai sebarang pertandingan di peringkat Eropah. - CNA

Chelsea, Manchester United, EPL

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain