SADIO Mane sekali lagi dijulang sebagai hero oleh penduduk di negara asalnya, Senegal selepas dia menyumbangkan £41,000 (RM216,000) bagi mencegah penularan Covid-19. Pemain sayap Liverpool itu menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan pada musim ini selepas menjaringkan 18 gol serta membuat 12 bantuan gol. Meskipun saingan liga ditangguh, Mane masih lagi menjadi hero walaupun pada kali ini bukan di dalam padang. Sehingga kini, sebanyak 27 kes positif Covid-19 telah dilaporkan di Senegal. Walau bagaimanapun, kem Liverpool buat masa ini masih lagi bebas daripada sebarang wabak tersebut namun padang latihan di Melwood masih lagi tidak dibenarkan untuk diadakan sebarang sesi latihan. Ini bukanlah kali pertama Mane melakukan sumbangan seperti ini. Mane menjadi pilihan utama Jurgen Klopp selepas dibeli dari Southampton pada 2016. Foto: AFP Sebelum ini, pemain berusia 27 tahun itu juga telah menyumbangkan dana untuk membina sekolah dan hospital di Senegal. Bagi memastikan kerja-kerja tersebut berjalan lancar, Mane pulang ke Senegal buat beberapa kali pada cuti musim panas. Selain itu, Mane juga sering membuat sumbangan pakaian seperti jersi bola sepak kepada kanak-kanak di Senegal untuk memberi galakan di peringkat muda. - The Sun