MUHAMMAD Hadi Fayyadh mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh penangguhan saingan liga berkenaan yang bermula 25 Februari lepas. Pemain berusia 20 tahun itu kini menikmati musim kedua bersama pasukan Fagiano Okayama dalam Divisyen 2 Liga Profesional Jepun (Liga-J). Bekas pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) itu berwaspada dengan membataskan pergerakannya kerana kebimbangan terhadap penularan Covid-19 meskipun dia dimaklumkan tiada sebarang kes berkaitan pandemik itu dilaporkan di wilayah Okayama. “Sekarang saya masih di Jepun dan Alhamdulillah saya dalam keadaan baik memandangkan setakat ini di sini (Okayama) tiada lagi kes Covid-19. “Tetapi dengan perkembangan wabak ini di seluruh dunia saya tetap risau, saya cuba untuk duduk di rumah dan keluar jika betul-betul perlu. Saya juga tidak pergi ke tempat yang ramai orang untuk elak risiko dijangkiti,” katanya kepada Bernama. Sebanyak 1,101 kes jangkitan Covid-19 dengan 41 kematian dilaporkan di Jepun setakat hari ini.Dalam pada itu, sama seperti kesemua pemain bola sepak di seluruh dunia, Muhammad Hadi Fayyadh yang terkesan tanpa sebarang aktiviti bola sepak tetap menjalani sesi latihan secara sendirian di rumah. Katanya, selain dapat mengisi masa, ia menjadi satu daripada cara untuk memastikan kecergasannya berada pada tahap terbaik dalam merebut kesebelasan utama pasukan terutama selepas beliau kerap memanaskan bangku simpanan pada musim lepas susulan kecederaan pangkal paha. Muhammad Hadi Fayyadh menyertai Fagiano Okayama untuk tempoh setahun pada Disember 2018 dan menandatangani penyambungan kontrak yang menyaksikan dia terus kekal bersama pasukan itu untuk tempoh satu tahun lagi sehingga Disember hadapan.