suria

Mourinho sertai pasukan sukarelawan Covid-19, hantar makanan kepada warga emas

Mourinho dilihat menghantar makanan ke rumah warga emas yang menjalani perintah berkurung di negara itu.

PENGURUS Tottenham Hotspur, Jose Mourinho menyertai pasukan sukarelawan dalam usaha mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) di London.

Mourinho dilihat bersama dengan pasukan Age UK dan Love Your Doorstep di Enfield, Utara London pada Isnin.

Pengendali dari Portugal itu dilihat menghantar makanan kepada golongan warga emas yang diarahkan oleh kerajaan untuk menjalani perintah berkurung.

Penularan wabak itu di negara tersebut memaksa pihak berkuasa mengumumkan perintah berkurung untuk warga emas berusia lebih 70 tahun.

Meskipun belum ada pengumuman rasmi pelaksanaan perintah berkurung bagi mengekang penularan Covid-19, namun masyarakat di United Kingdom sudah mula mengehadkan pertemuan sosial.

Tindakan Mourinho yang menyokong usaha itu menerima pujian ramai.

Sebuah rakaman video yang tular menunjukkan Mourinho menghantar bekalan makanan kepada golongan memerlukan.

"Saya memberikan sedikit pertolongan kepada Age UK Enfield dan Love Your Doorstep Enfield.

"Sudah tentu anda boleh menderma makanan secara atas talian atau menjadi sukarelawan. Pasukan ini mudah dihubungi," katanya. - Dailystar.co.uk

Jose Mourinho, Covid-19, sukarelawan

Artikel Lain