BEKAS penjaga gol Arsenal, Jens Lehmann mengesahkan dia telah bebas daripada Covid-19 namun menerangkan bahawa dia mengalami selsema paling teruk dalam hidupnya. Lehmann yang merupakan sebahagian daripada skuad Invicibles Arsenal 2003/2004, mendedahkan dia sah dijangkiti koronavirus pada Mac lalu. "Saya didapati positif pada pertengahan Mac lalu dan agak menyakitkan apabila mengalami batuk dan demam pada waktu yang sama. "Selepas menjalani sesi kuarantin selama dua minggu, pegawai kesihatan mengesahkan saya telah sembuh daripada wabak tersebut," ujar penjaga gol berusia 50 tahun itu. Saingan Bundesliga bakal bersambung semula pada 9 Mei ini dengan kesemua perlawanan bakal dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong. Dalam pada itu, Lehmann juga berpendapat bahawa penonton boleh hadir ke stadium tetapi dalam bilangan yang terhad. "Jika empat kerusi hanya digunakan oleh seorang penonton, penjarakkan sosial tetap berlaku. "Bagi yang melanggar arahan tersebut pula perlu diarahkan keluar serta hukuman lain. "Kehadiran penyokong amat penting kerana mampu menjana semula ekonomi di Jerman," tambahnya lagi. - talkSPORT