PENYERANG sensasi Liverpool, Mohamed Salah memberitahu dia sedia untuk kekal di Anfield untuk satu tempoh panjang. Pemain antarabangsa Mesir berusia 28 tahun ini yakin The Reds mampu mencapai lebih banyak kejayaan selepas dinobatkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini. Sepanjang bersama Jurgen Klopp, Salah turut membantu merangkul gelaran Liga Juara-Juara serta Piala Kelab. Salah yang menadatangani kontrak sambungan selama lima tahun pada 2018 mengakui sangat komited dengan kelab. Malah selepas merangkul trofi juara ini, Salah tetap setia untuk terus bersama Liverpool. "Saya sangat gembira. Sukar untuk gambarkan perasaan sebaik sahaja menjuarai liga selepas 30 tahun. "Saya boleh lihat ramai yang gembira dan ini sangat penting buat kami semua. "Suasana di sini sangat berbeza dengan tempat lain. Kami telah menyesuaikan diri dan memahami antara satu sama lain dengan baik. "Jika ia diteruskan, kami boleh mencapai lebih banyak. Memang sukar untuk kekal di tahap sekarang, tetapi ia tidak mustahil," jelasnya kepada BeIN Sport. - Dailystar.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!