suria

Kecoh! Polis tangkap beberapa individu di pejabat Barcelona susulan isu kewangan, skandal Barcagate

Polis menangkap beberapa individu ketika pemeriksaan di pejabat Barcelona pada Isnin. Foto: Reuters

KEKECOHAN melanda kelab bola sepak Sepanyol, Barcelona berikutan penahanan sejumlah individu di pejabat kelab tersebut pada Isnin.

Polis Catalan mengesahkan tangkapan tersebut adalah sebagai sebahagian daripada penyiasatan membabitkan isu kewangan di Barcelona.

Jumlah tangkapan yang dibuat dan identiti mereka yang terlibat belum dapat dipastikan.

Bagaimanapun difahamkan bekas presiden Josep Bartomeu, penasihatnya Jaume Masferrer, Ketua Pegawai Eksekutif Oscar Grau dan ketua perkhidmatan undang-undang Roman Ponti adalah antara yang ditangkap.

Bartomeu meletakkan jawatan pada Oktober lalu dan pemilihan presiden kelab bakal berlangsung Ahad ini.

Media tempatan melaporkan, siasatan polis adalah bagi mencari bukti mengenai skandal 'Barcagate' yang menyelubungi kelab itu setahun lalu.

Dikatakan bahawa Barca, di bawah pimpinan Bartomeu, membayar syarikat pihak ketiga untuk memburuk-burukkan pemain mereka sendiri termasuk Lionel Messi dan calon presiden di media sosial. - Dailystar

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain