PENGARAH Barcelona, Guillermo Amor mengakui berasa bimbang Lionel Messi akan meninggalkan kelab tersebut susulan kekalahan 1-2 kepada Real Madrid dalam aksi La Liga pada awal pagi Ahad. Dengan baki kurang dari tiga bulan kontraknya di Camp Nou, Messi berkemungkinan tidak akan beraksi menentang Real Madrid dalam jersi Barcelona lagi - melainkan jika dia bersetuju menandantangani perjanjian baru. Amor tidak dapat memberikan kemas kini yang memberangsangkan mengenai rundingan dan hanya mengakui dia berharap itu bukan penampilan terakhir Messi di El Clasico. "Kami berharap dia (Messi) tidak akan menjadikan kekalahan ini sebagai antara faktor dia mahu meninggalkan pasukan. Kami mahu dia kekal di Barcelona dan bermain lebih banyak perlawanan Clasico. "Sudah tentu kami akan terus memujuk dia untuk kekal di sini kerana dia pemain penting buat pasukan," katanya. Messi kelihatan sangat kecewa selepas tewas dalam perlawanan tersebut sekali gus khabar angin kembali berlegar kemungkinan pemain kelahiran Argentina itu akan meninggalkan Barcelona. - Mirror Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!