CHELSEA mengumumkan kontrak Thomas Tuchel dilanjutkan sehingga 2024. Pengendali dari Jerman itu membawa Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas lima bulan mengendali The Blues. Chelsea berjaya menumpaskan Manchester City pada perlawanan akhir hujung minggu lalu. Tuchel yang menyertai The Blues pada Januari lalu berjaya mengubah kedudukan pasukan itu daripada tangga kesembilan hingga melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL). [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Saya tidak dapat membayangkan benda yang lebih baik selain mendapat tawaran kontrak baru. Saya sangat berpuas hati dengan pengalaman dan gembira dapat terus kekal dengan keluarga Chelsea," kata Tuchel. Sementara itu Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia berkata: "Apabila Thomas menyertai kami Januari lalu banyak lagi aksi perlu dilalui untuk perlawanan domestik dan peringkat Eropah. "Beliau berjaya masuk dengan lancar dan segera menjadi nadi penting buat Chelsea. "Oleh itu, kami sangat gembira dapat mengekalkan Thomas untuk dua tahun lagi, dan mengharapkan lebih banyak pencapaian pada musim akan datang," katanya. - Chelseafc.com Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!