"SAYA tak minta banyak... untuk semua rakyat Malaysia tak kira Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, tolong doakan saya untuk perlumbaan esok. "Perlumbaan esok memang sukar kerana ada tiga perlumbaan dalam masa satu hari... ada suku akhir, separuh akhir dan final, jadi doakan semuanya berjalan lancar." Demikian mesej pelumba sensasi negara, Datuk Azizulhasni Awang bagi memenuhi impian lebih 32 juta rakyat Malaysia dalam usaha memburu emas pertama negara di pentas temasya Olimpik menjelang aksi suku akhir saingan keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pagi esok. Dalam perlumbaan di Velodrom Izu, Tokyo petang tadi, Azizulhasni menepati ramalan awal mara ke suku akhir selepas mengungguli saingan pusingan pertama Heat 3, sekali gus mengatasi cabaran lima pelumba lain. ARTIKEL BERKAITAN: Jatuh bangkit semula! Aksi dramatik Shah Firdaus iringi Azizulhasni ke suku akhir acara keirin! Lebih manis, seorang lagi pelumba kebangsaan, Muhammad Shah Firdaus Shahrom turut layak ke suku akhir esok meskipun terlebih dulu terpaksa beraksi di saingan repechages selepas terjatuh gara-gara bergesel dengan pelumba Britain, Jack Carlin dalam aksi pusingan pertama Heat 2. Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman memberitahu, dia perlu membuat percaturan yang bijak bersama jurulatih, John Beasley dan tidak terlalu fokus untuk menang dua perlumbaan awal esok dalam usaha memburu slot ke pentas final. Begitupun katanya, dia harus bersedia dengan apa jua situasi memandangkan semua pelumba terdesak untuk menamatkan saingan di kedudukan podium. "Kalau boleh saya mahu menang secara bersih dan selesa tanpa perlu beraksi di perlumbaan repechages. Saya perlu bijak dan tidak menghabiskan tenaga terlalu awal. Selain itu, saya kena cuba meloloskan diri daripada pelumba lain dan bersedia kerana pertimbangan ketika berlumba tidak begitu waras. "Bila penat, pelumba boleh himpit pelumba lain dan tidak kekal dalam laluan. Apabila berada dalam situasi pantas seperti itu, kena ada reaksi balas dan waktu yang tepat untuk memikirkan tindakan selanjutnya. "Semoga tiada himpitan, tiada kemalangan, tiada apa-apa. Doakan saya untuk menang pingat emas esok insya-ALLAH," katanya ketika ditemu bual Nadi Arena di bumi Tokyo sebentar tadi. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai persembahannya petang tadi, Azizulhasni mengakui terkejut sejurus menyaksikan Muhammad Shah Fridaus terlibat kemalangan. "Saya macam terkejut dan kesian bila lihat dia (Muhammad Shah Firdaus) jatuh kerana nampak dia macam mahu memecut ke depan tapi tiba-tiba dihimpit dan bergesel dengan pelumba Britain. "Alhamdulillah tiada cedera teruk cuma luka-luka badan dan kulitnya sedikit tersagat," jelasnya. Dalam aksi suku akhir esok (9.30 pagi waktu Malaysia), Azizulhasni akan berentap bersama lima pelumba iaitu Matthew Glaetzer dari Australia; Stefan Boetticher (Jerman), Kwesi Browne (Trinidad & Tobago) dan pelumba tuan rumah, Yuta Wkimoto dalam usaha memburu empat slot ke separuh akhir. Sementara Muhammad Shah Firdaus pula akan kembali membuat perhitungan dengan Jack Carlin dalam satu lagi suku akhir bersama Maximilian Levy (Jerman), Callum Saunders (New Zealand), Jair Fa En Tjon (Suriname) dan Nicholas Paul dari Trinidad & Tobago. Pada temasya Olimpik Rio 2016 di Brazil, Azizulhasni berjaya meraih pingat gangsa acara tersebut dan ini merupakan penampilan keempat pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu di pentas Olimpik selepas edisi Beijing (2008) dan London (2012). Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram! TONTON VIDEO PILIHAN!