PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola ternyata nyata gembira dengan prestasi ditonjolkan oleh tonggak pertahanannya, Aymeric Laporte susulan kejayaan mengerjakan Norwich City dengan kemenangan besar 5-0 pada aksi kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.Kemenangan bergaya itu dilihat mengubati kekecewaan The Citizens yang dijinakkan Tottenham Hotspur dengan kekalahan tipis 0-1 dalam aksi pertama EPL minggu lepas. Dalam aksi di Stadium Etihad malam kelmarin, Laporte menyumbat satu gol pada minit ke-64 hasil situasi kelam kabut yang berlaku di depan gawang lawan.Selain Laporte, turut meletakkan nama selaku penjaring The Citizens termasuklah Jack Grealish, Raheem Sterling, Riyad Mahrez dan juga gol sendiri penjaga gol lawan, Tim Krul. "Laporte merupakan bek tengah berkaki kiri terbaik di dunia untuk memulakan serangan," ujar Guardiola kepada beIN Sports selepas perlawanan. ARTIKEL BERKAITAN: “Tak puas hati? Boleh bawa ke mahkamah” - Guardiola sound Klopp ARTIKEL BERKAITAN: "Kane harus siap sedia.." Pengurus Spurs beri bayangan masa depan Kane Dia disenaraikan dalam kesebelasan utama pilihan Guardiola selepas John Stones dilaporkan masih belum cergas sepenuhnya. Pada aksi Sabtu lepas, Laporte berjaya melengkapkan 109 daripada 111 percubaan hantaran sepanjang 90 minit. Sebagai rekod, kadar hantaran yang dilakukan oleh Laporte sepanjang musim lalu adalah 92%. Walaupun kebanyakan bek tengah memiliki kadar hantaran yang tinggi tetapi Laporte lebih progresif manakala hantarannya juga sering dilihat mampu mengucar-ngacirkan sistem pertahanan lawan. Dilaporkan, Laporte mempunyai kualiti hantaran jarak jauh yang tepat dan lebih baik berbanding rakan sepasukannya iaitu Ruben Dias dan Stones. Bagaimanapun, masa depan Laporte dilihat samar pada jendela perpindahan musim panas ini selepas kehadiran Dias ke City musim lalu. Dias dilihat lebih cenderung menjadi pilihan Guardiola untuk bergandingan dengan Stones pada musim lalu apabila mempamerkan prestasi memberangsangkan sekali gus menyebabkan Laporte diketepikan. Laporte baru-baru ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Itali, Juventus namun perpindahan itu gagal direalisasikan. Dia bagaimanapun membuktikan pada perlawanan menentang Norwich kelmarin bahawa kelibatnya masih penting bagi skuad Guardiola mengharungi musim ini. - MEN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI TONTON VIDEO PILIHAN!