suria

Piala Malaysia: sila jaga SOP betul-betul jika tak mahu kalah percuma

MFL sudah mengambil kira pelbagai faktor dan Liga Malaysia perlu dihabiskan sebelum hujung November 2021.

KEPUTUSAN Malaysian Football League (MFL) untuk menghadiahkan kemenangan percuma kepada pasukan jika ada mana-mana pemain atau pegawai positif Covid-19 adalah langkah yang tepat.

Walaupun mungkin dilabel ‘kejam’, pendekatan itu diambil bagi kelancaran Piala Malaysia malah turut mengambil kira beberapa aspek termasuk soal kontrak pemain.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Muhammed Suffian Awang berasakan peraturan sedemikian wajar dilaksanakan selepas beberapa penangguhan pernah berlaku ketika saingan liga.

Secara tidak langsung, Muhammed Suffian juga berpendapat ia akan membuatkan setiap pasukan lebih berhati-hati dalam melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang latihan secara Camp Based.

“Pada saya, SOP yang ditetapkan itu memang kita kena ikut juga demi keselamatan semua orang.

“Pemotongan tiga mata yang diberitahu oleh MFL memang “pahit” tetapi itulah senario bermain bola sepak dalam keadaan pandemik yang perlu kita terima.

“Sebab kita inginkan kelancaran kejohanan, tidak mahu perlawanan tertangguh lagi dan saranan saya adalah menjadi tanggungjawab pasukan untuk lebih berdisiplin serta memastikan diri tidak dijangkiti,” katanya.

Terdahulu, CEO MFL, Stuart Ramalingam sebelum ini menjelaskan yang MFL akan bertindak tegas dengan memberikan kemenangan percuma kepada pasukan lawan sekiranya ada kes positif Covid-19 dilaporkan dalam mana-mana pasukan.

Peraturan ini ditetapkan kerana saingan tidak boleh lagi ditangguh dan Liga Malaysia perlu berakhir sebelum hujung November 2021 bagi mengelak masalah membabitkan kontrak pemain.

Pelaksanaan peraturan ini sudah pun dimaklumkan kepada semua pasukan dan mereka memahami peraturan tersebut.

Sementara itu, CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon turut senada dan merasakan sudah sampai masanya pihak kerajaan terutamanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan cadangan agar tidak mewajibkan semua pasukan dikuarantin jika ada pemain yang positif sepertimana diamalkan oleh majoriti liga Eropah.

" Saya rasa sudah sampai masanya jika ada pasukan yang pemain mereka positif, mungkin hanya perlu kuarantin saja manakala selebihnya perlu melakukan ujian PCR.

"Saya berpandangan sebegini kerana melihat sektor sukan di luar sana sudah mula dibenarkan seperti penggunaan padang awam untuk permainan bola sepak, gimnasium, kolam renang dan mungkin sudah sampai masanya ia perlu dikaji semula," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain