SERGIO Aguero dilaporkan telah disahkan menghidap masalah jantung selepas mengalami sesak nafas ketika menentang Alaves pada Sabtu. Menurut penerbitan Sepanyol, Sport, ujian awal mendedahkan dia mengalami aritmia (arrhythmia), satu keadaan di mana jantung berdegup dengan rentak yang tidak teratur. Sementara itu, Marca melaporkan bintang Barcelona itu akan kekal di bawah pengawasan doktor di hospital sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk menjalani ujian kardiologi lanjut. Barca tidak bersedia untuk mengambil sebarang risiko dengan situasi Aguero. Ini bermakna Aguero hanya akan kembali berlatih apabila benar-benar pulih. Terdahulu media melaporkan Aguero mengalami sesak nafas ketika beraksi di atas padang, sebelum terbaring selepas dia meletakkan tangan di dadanya. Kakitangan perubatan Barcelona bergegas ke padang membantu Aguero dan meletakkannya di atas pengusung, sebelum dia kemudian bangun dan berjalan perlahan-lahan. Pemain berusia 33 tahun itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan posisinya digantikan oleh Philippe Coutinho. - Dailystar Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI