suria

Alami sawan, tiba-tiba jadi agresif... Bekas pemain ragbi buka cerita mengenai gegaran otak

Dia yang menjadi wajah rasmi minyak wangi Paco Rabanne selama sedekad kini masih aktif sebagai model. Foto: athletesforlife.com.

BEKAS pemain ragbi Castleford, Nick Youngquest akhirnya membuka mulut mengenai apa yang dilaluinya selepas berhenti daripada sukan itu.

Youngquest, yang juga model terkenal berkata, mulutnya berbuih, malah dia juga menjadi agresif ketika dibantu doktor.

Pakar neurologi yakin sawan itu merupakan kesan terjahan dan perlanggaran kuat yang berlaku di padang, menyebabkan gegaran dan kecederaan otak.

"Orang yang mengalami kecederaan otak traumatik sering menderita dalam diam dan kesan yang paling biasa ialah kesunyian dan pengasingan.

“Tiada siapa yang memahami perasaan awak dan ia merosakkan hubungan jangka panjang saya yang terakhir. Ia sangat sukar untuk atlet dan kepada keluarga mereka.

"Saya mahu mencipta platform yang memperkasakan orang ramai supaya mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian dalam hal ini," ujar atlet berusia 38 tahun itu.

Youngquest telah menubuhkan Concussion Clubhouse dengan bekas kapten Leeds Stevie Ward dan bekas bintang NRL dan peninju Joe Williams.

Pertemuan maya secara langsung pada minggu lepas berjaya menarik perhatian ramai bintang sukan dari seluruh dunia yang pernah mengalami masalah gegaran otak.

"Simptom saya jelas. Beberapa bulan selepas saya bersara, saya berjalan di sepanjang Champs-Elysees di Paris dan mula berasa sangat ganjil.

"Perkara seterusnya yang saya ingat terdapat lima orang paramedik di sekeliling saya. Saya menjadi sangat agresif, yang tidak seperti saya, dan mula melemparkan tumbukan. Ia menakutkan.

“Tetapi bagi orang lain, tidak ada gejala luaran yang mereka alami. Kecederaan otak membuatkan mereka bertindak balas terhadap perkara yang kelihatan tidak bersalah kepada orang lain. Selalunya ia seolah-olah mengakibatkan peristiwa kritikal," jelasnya lagi.

Untuk rekod, Youngquest, yang menjadi wajah rasmi minyak wangi Paco Rabanne selama sedekad kini masih aktif sebagai model. - Daily Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain