BEKAS pemain bola sepak Manchester United, Ryan Giggs akan menghadapi perbicaraan semula (re-trial) atas tuduhan keganasan rumah tangga, tahun depan. Hakim Mahkamah Manchester Crown membuat keputusan berkenaan, dengan tarikh perbicaraan baharu ditetapkan pada 31 Julai 2023. Keputusan itu dibuat selepas juri gagal memutuskan penghakiman minggu lalu, selepas perbicaraan selama empat minggu di mahkamah yang sama. Giggs, 48, menafikan semua tuduhan kekasaran terhadap bekas teman wanitanya Kate Greville, 38, selama tempoh tiga tahun mereka bersama. Dia juga menafikan 'hilang kawalan' dan menyerang kakak Greville, Emma, dengan menyiku rahang wanita itu, semasa pertengkaran di rumahnya di Worsley, Greater Manchester pada 1 November 2020. "Pengakuan tidak bersalah saya kekal berhubung dengan semua pertuduhan. Saya yakin bahawa keadilan akhirnya akan ditegakkan dan nama saya akan dibersihkan daripada semua tuduhan itu," ujar Giggs. Giggs diikat jamin sehingga perbicaraan berlangsung tahun depan. - Metro.co.uk Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI