IBU kepada seorang remaja autistik yang telefon bimbitnya dipecahkan di Goodison Park, menggesa Persatuan Bola Sepak (FA) mengenakan tindakan terhadap Cristiano Ronaldo kerana menyifatkan kelakuan bintang Manchester United itu ‘tidak boleh diterima’. FA awal minggu ini mendakwa Ronaldo selepas mendedahkan rakaman menunjukkan bintang tersebut menepis telefon bimbit daripada tangan Jacob Harding yang berusia 14 tahun. Ibu Harding, Sarah Kelly, 37, menggesa badan induk tersebut ‘mendisiplinkan’ penyerang Portugal itu dengan sewajarnya. “Harapnya dia mendapat hukuman yang setimpal. Dia tidak boleh terus melarikan diri. Kelakuannya tidak boleh diterima,” katanya. Insiden tersebut berlaku semasa Manchester United tewas 1-0 kepada Everton di Goodison Park pada April. Akibat tindakan Ronaldo, Harding mengalami lebam pada tangan dan telefon bimbitnya juga rosak. Terkejut dengan kelakuan pemain berusia 37 tahun itu, Kelly mengakui dia tidak tahu bagaimana bintang Red Devils itu boleh tidur pada waktu malam setelah mengetahui kesalahan yang dilakukan. Terdahulu, Ronaldo memohon maaf di media sosial dan menjemput remaja itu menyaksikan perlawanan di Old Trafford sebagai tetamunya. Bagaimanapun, remaja itu menolak pelawaan Ronaldo dan ibunya turut mengecam tindakan Manchester United berhubung insiden tersebut. - DAILYMAIL Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI